19 February 2008

Pendidikan percuma hingga ke peringkat universiti jika BA diberi mandat

Salmiyah Harun
Mon | Feb 18, 08 | 8:38:57 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Jika diberi mandat oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 nanti, Pemuda Barisan Alternatif (BA) berani menawarkan pendidikan percuma kepada semua kaum yang ada dalam negara ini.

Dewan Pemuda PAS (DPP) dan Angkatan Muda KeADILan (AMK) melahirkan harapan dan tawaran itu dalam satu Dokumen Harapan Anak Muda yang dilancarkan hari ini di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Ketua DPP Salahuddin Ayub ketika melancarkan dokumen harapan itu menegaskan mereka akan memberi pendidikan percuma daripada darjah satu hinggalah ke peringkat universiti.

"Kita berani menyatakan satu tawaran jika rakyat memberi kita mandat, kita akan berikan pendidikan percuma daripada darjah satu hingga ke akhirnya dapat menerima ijazah," katanya.

Beliau juga akan berusaha memulihkan kualiti pusat pengajian tinggi sekurang-kurangnya tiga universiti tempatan menjadi yang terbaik di Asia.

Tambahnya, mahasiswa yang terikat dengan pelbagai kekangan termasuklah Auku sehingga memaksa mereka akur dan takut kepada peraturan yang ada pada hari ini.

Jelasnya, jika rakyat memberi kepercayaan kepada Pemuda BA antara perubahan besar yang akan dibuat ialah membuat kajian semula terhadap Auku supaya mahasiswa bebas daripada belenggu kerajaan.

"Dengan cara ini kita dapat melahirkan generasi mahasiswa dan juga belia yang bebas dan mempunyai kredibiliti," katanya di hadapan kira-kira 20 wartawan dan exco AMK dan DPP.

Beliau berkata, Auku digunakan sebagai larangan kepada mahasiswa negara sehinggakan mereka diperlakukan seperti budak-budak sekolah.

Begitu juga, katanya golongan pensyarah yang diperlakukan sebagai guru sekolah yang mana mereka sepatutnya menjadi kebanggaan ketika negara dianugerahkan kemerdekaan ke-50 tahun.

"Golongan pensyarah, ilmuan dan akademik yang sepatutnya menjadi kebangaan kita pada hari ini tetapi pada pasca ke-50 negara kita mencapai kemerdekaan tidak ada satu pun nobel diberikan oleh universiti," katanya.

Justeru, jelasnya para belia perlu kembalikan kepada kehidupan beragama masing-masing agar dapat melahirkan belia yang bertanggungjawab pada masa akan datang.

Turut sama dalam pelancaran itu Ketua AMK Shamsul Iskandar Mat Akin, barisan Exco AMK dan barisan Exco DPP.

Terdapat tujuh harapan perubahan yang terkandung di dalam Dokumen Harapan Anak Muda Malaysia;

Politik

Menyuburkan idealisme dan aktivisme anak muda dalam persatuan. Memberi lebih ruang demokrasi kepada kepimpinan anak muda dan persatuan belia.

Kualiti Hidup

Menerap dan menggalakkan program pembangunan insan yang bebas daripada agenda politik dan perkauman secara menyeluruh kepad semua generasi muda. Melahirkan generasi muda yang bebas dadah dan bersih daripada masalah sosial

Pendidikan

Menyediakan pendidikan percuma dan berkualiti sehingga ke peringkat universiti. Memulihkan kualiti pusat pengajian tinggi dengan sekurang-kurangnya tiga universiti tempatan menjadi terbaik di Asia.

Ekonomi

Meringkaskan karenah birokrasi, mempermudahkan pinjaman bank dan memberi pendaftaran percuma kepada syarikat-syarikat milik usahawan muda. Menyediakan persekitaran ekonomi yang kondusif untuk menjamin peluang kerja tanpa diskriminasi dengan penetapan gaji minima yang munasabah.

Agama

Memberi kebebasan dalam menganut dan mengamalkan agama dalam lingkungan undang-undang. Menggalakkan perkembangan pendidikan agama di kalangan anak muda.

Seni dan Budaya

Menyediakan dana untuk membantu memperkembangkan potensi karyawan muda. Memberi perspektif baru kepada budaya tempatan untuk mengatasi superioriti budaya asing.

Sukan dan Rekreasi

Membebaskan semua badan sukan daripada pengaruh politik kepartian. Menggalakkan gaya hidup sihat dan membina perpaduan melalui sukan. - mns

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes