19 February 2008

Falsafah Islam Hadhari tersasar daripada warisan yang asal

Falsafah Islam Hadhari tersasar daripada warisan yang asal

Ali Bukhari Amir
Tue | Feb 19, 08 | 3:21:40 pm MYT

Antara punca kenapa Islam Hadhari akan gagal ialah kerana rujukan masanya yang tidak kukuh. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah merujuk Era Keemasan Islam (Golden Ages), khasnya Islam di zaman Cordova dan bukannya Islam yang terbaik di zaman Rasulullah s.a.w atau Islam seperti yang dipegang di zaman Salafus Soleh.

Idris Jusoh dalam suatu forum di Pulau Wan Man sempena Perkampungan Hadhari telah menyatakan kekaguman beliau terhadap seni replika di bumi Cordova. Hal ini telah jelas membuktikan kedekatan Islam Umno berkiblatkan Islam yang jauh daripada Rasulullah.

Abdul Rahman Haji Abdullah (Pemikiran Islam di Malaysia, Sejarah dan Aliran, 1998) menulis betapa besarnya penghargaan kepada Ilmu 'Aqliyyah (rational sciences) hingga dalam pentafsiran Sejarah Islam, mereka meletakkan zaman kerajaan Bani Abbasiyyah sebagai Zaman Keemasan (Golden Age) dalam sejarah umat Islam.

"Ini kerana," kata Abdul Rahman, "pada zaman itu berkembangnya pengetahuan rasional dan intelektual yang tak pernah dialami sebelumnya dan juga selepasnya. Dan, agar umat Islam kini mencapai kemajuan yang serupa dan setanding dengan Barat, perlu dibongkar semula warisan tamadun Islam itu."

Kemajuan ilmu 'dibongkar', kezaliman penguasa ditutup

Abdullah Ahmad Badawi sangat konsisten dengan idea 'pembongkaran khazanah ilmiah' ini sehingga beliau mencetuskan program televisyen, Ilmuan Islam. Sekali imbas, ia memang menarik. Tapi, hal kezaliman penguasa pada zaman itu ditutup dan tidak didebatkan langsung oleh Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr Shafie Abu Bakar menjelaskan bahawa kegagalan terkini negara adalah berkait rapat dengan kegagalan menanam nilai ke dalam jiwa rakyat lantaran penekanan terhadap pembangunan material.

"Kegagalan menanam falsafah nilai dapat dilihat daripada contoh mengubah ajen nilai utama kepada masyarakat daripada Islam yang melibatkan aspek lahiri dan maknawi (akal, hati dan rohani) kepada 'Islam Hadhari' yang bersifat 'Islam Kristal, tidak asli, tiruan dan lebih menekankan material," kata beliau.

Dr Shafie menulis, dalam Forum Perdana di Pulau Wan Man, sempena perasmian Masjid Kristal, panelis gagal menjawab soalan penonton tentang pembinaan Masjid Quba' oleh Rasulullah s.a.w sebagai masjid yang diasaskan atas ketaqwaan dengan peranan Masjid Dhirar sebagai binaan yang meruntuhkan perpaduan umat Islam.

"Apakah 'Masjid Kristal Islam Hadhari' berasaskan ketaqwaan atau pun yang sebenarnya ia adalah 'masjid dhirar' yang bertujuan menunjuk-nunjuk dan tidak dimakmurkan sesuai dengan peranannya sebagai masjid yang dibina di atas ketaqwaan.

"Sesungguhnya Islam Hadhari yang institutnya dirasmikan pada 12 Februari lalu di UKM adalah Islam Kristal yang tidak asli, replika, tiruan, rekaan yang tak sama dengan Islam," tulis Dr Shafie.

Jadi, akan lahirlah kalangan Muslimin yang berkiblat kepada kemajuan lalu menolak satu debat yang maha penting, iaitu perbahasan mengenai hal keadilan penguasa.

Rasionalisme lebih mulia berbanding akhlak

Berhubung hal ini juga, Abul Hassan Ali an-Nadwi dalam bukunya bertajuk 'Religion and Civilisation', 1980 telah menyatakan bahawa ukuran kemajuan kini hanya terletak kepada nilai-nilai rasionalisme, intelektualisme. Bukan lagi merujuk kemajuan iman dan akhlak.

Sedangkan, Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w adalah seperti yang disebut dalam hadis: "Sesungguhnya, aku dibangkitkan untuk menyempurnakan keperibadian akhlak."

Lalu berbekalkan hadis di ataslah maka Rasulullah memberikan pengiktirafan ke atas tiga abad terbaik sebagaimana sabdanya, "Kurun yang paling baik adalah kurunku, kemudian kurun sesudah itu, dan seterusnya kurun selepas itu."

Tiga kurun atau 300 tahun yang dikenali sebagai Salafus Soleh ini tentu dianggap terbaik oleh Rasulullah s.a.w kerana masyarakat pada ketika itu berakhlak mulia, sesuai dengan pengiktirafan ke atas kehadiran baginda sendiri dengan tujuan memajukan akhlak.

Dalam segi ini, ternyata pendapat an-Nadwi paling rapat dengan perisytiharan Rasulullah s.a.w itu. Moral rakyat yang baik pada ketika itu menyebabkan moral penguasa juga baik dan tidak sombong, angkuh dan riyak seperti yang berlaku sekarang ini.

"Yang paling megah dengan Islam Hadhari dan Masjid Kristal adalah pendokong utama mazhab Islam Hadhari dan pendiri masjid itu di Pulau Wan Man, iaitu Idris Jusoh.

"Kemegahan ini tidak setakat megah sahaja, tetapi meningkat kepada kesombongan dan keangkuhan sesuai dengan Islam Hadhari yang tidak menekankan akhlak dan rohani itu," demikian tulisan Dr Shafie dipetik. - mks.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes