25 November 2009

Salam Aidil Adha


24 November 2009, Menggatal,Kota Kinabalu - Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t. Semoga setiap ketika dan dimana pun kita berada, hidayah Allah sentiasa terus bersama dengan kita, anak-anak muda yang cinta akan Islam, agar Islam akan terus kukuh di bumi Borneo ini.


Mahasiswa merakyat, adalah mahasiswa yang dapat turun bersama rakyat dan membawa isu-isu rakyat untuk diperjuangkan. Begitulah iniseatif yang telah dilakukan oleh Mahasiswa Borneo yang telah mengadakan kunjungan ziarah di Kampung Lobou, Menggatal Kota Kinabalu. Beberapa ahli MARSIS juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama mengikuti kunjungan dan ziarah yang sangat bermakna ini. Kita juga rasa bertuah kerana beberapa orang rakan aktivis Mahasiswa yang berasal daripada Semenanjung turut hadir untuk sama-sama menjayakan program tersebut.


Kg. Lobou adalah kampung yang didiami oleh penduduk tempatan, majoritinya berketurunan Dusun. Kehadiran kami, para Mahasiswa disambut baik oleh para penduduk kampung. Meskipun penduduk Islam, adalah kumpulan minoriti di kampung tersebut namun kemesraan dan keramahan penduduk menjadikan para peserta program merasa seperti berada di kampung sendiri. Meskipun cabarannya tetap ada, seperti gurau senda anjing-anjing penduduk tempatan kepada peserta program, namun ini hanyalah cabaran kecil yang harus dihadapi. Mungkin sekadar ucapan Selamat Datang dan Salam Perkenalan, anjing peliharaan tersebut kepada para peserta.




Aktiviti ziarah yang dilakukan, dengan berkunjung ke beberapa rumah penduduk kampung telah memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan Kg. Lobou yang sebenar. Betapa mereka memerlukan infrastruktur yang mencukupi, setanding dengan penduduk yang mendiami di kawasan bandar. Antara masalah utama, ialah bekalan air yang sering putus, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air anak sungai yang mana kadar kualiti kebersihan air anak sungai tersebut sangat diragukan. Sistem saliran kampung tersebut yang tidak teratur, menyebabkan anak sungai tersebut agak kotor dan berlumut.




Salah seorang penduduk yang ditemui, menceritakan bahawa penduduk Islam di kampung tersebut sering mengadakan pertemuan di majlis dan kuliah ilmu yang diadakan di Surau kampung tersebut. Hubungan mereka dengan penduduk bukan Islam tetap mesra, kerana sama-sama saling memahami dan menghormati agama masing-masing.

Apa yang menyedihkan, terdapat usaha-usaha pendakyah agama lain yang cuba memberikan bantuan berupa kupon makanan harian. Melalui kupon ini mereka boleh mendapatkan barangan dapur di beberapa supermarket berdekatan. Kita memandang perkara ini sangat serius, kerana dengan cara sebegini gejala murtad mudah berlaku.


Aktiviti ziarah yang dilakukan, menjelaskan kepada kami, bahawa terdapat beberapa keluarga yang sepatutnya dibantu oleh mana-mana pihak berwajib. Terdapat beberapa rumah yang sepatutnya menjadi perhatian Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Sabah, kerana keadaan rumah agak usang dan lebih mengharukan kerana didiami oleh adik-adik yang masih kecil dan bersekolah.



Mahasiswa merakyat akan memperjuang nasib rakyat. Kami ini juga, bukanlah siapa-siapa, kami bukan salah seorang ahli parlimen yang boleh berkata-kata dalam Dewan Rakyat. Namun kami sentiasa menarik perhatian masyarakat agar cenderong dengan keadaan pelbagai masalah dalam setiap lapisan masyarakat. Segala maklumat dan respon yang kami perolehi di kampung tersebut akan kami panjangkan kepada pihak-pihak berwajib. Di samping kami mengharapkan penglibatan lebih ramai lagi badan-badan NGO untuk turut sama-sama membantu.

Tiada perbezaan dalam Islam, yang menyatukan kita semua adalah asas akidah Islam, menghasilkan persaudaraan dan ukhwah Islamiyah. Hanya Taqwa kepada Allah s.w.t akan menjadi bekalan kita semua walau dimana pun kita berada bandar,kampung, pedalaman, dan apapun status kita dalam masyarakat.


Terus maju para kader-kader dakwah. Ketahuilah bahawa Bumi Sabah ini sentiasa menantikan kehadiran anda. Semoga konsep 1 Malaysia yang diwar-warkan oleh ayahanda Perdana Menteri Malaysia dapat dirasai dan dipraktikkan di setiap pelusuk tanah Malaysia yang bertuah ini.

Terima kasih dan sejuta penghargaan kepada para penganjur program. Kepada rakan-rakan yang datang jauh dari Seberang Semenanjung, Sarawak dan semuanya, Sila datang ke Sabah lagi !!! Sekian, terima kasih. Wassalam.




Terima kasih daun keladi,
Ada jodoh jumpa lagi.















18 November 2009

Perginya Mujahidah muda..semoga roh mu dicucuri Allah.



Alhamdulillah selamat sampai dr Pasir Gudang jam 5.30 pagi tadi.Walaupun tidak berkesempatan menatap dan mengiringi jenazah ke kuburan, ziarah kami dapat mempersembahkan rasa cinta dan ukhwah buat Almarhumah Nurul Zalikah disemadian.. hanya doa menjadi iringan.rasanya sahabat-sahabat dari KL hampir kesemuanya tidak berkesempatan dan tiba lewat ke rumah bapa saudaranya di Pasir Gudang..ibu bapa almarhumah tiada disisi kerana sedang menunaikan fardu haji di Makah yang baru bertolak pd Isnin lalu,9/11/09. .

Almarhumah merupakan pelajar Universiti MAlaya Al Quran & Al Hadith (anak murid Ust Anuar Ridwan), Timb.Bendahari Agung PMAPIUM 2002/2003 (Nilam Puri), TKP Siyasah PMIUM sesi 2005/2006..Begitu juga sangat aktif dalam IPIJ, GAMIS, Nisa' dan Muslimat. Cuma kesihatannya agak terbatas kerana didapati positif kanser tahap 2 hodgkin lymphoma sebaik tamat pengajian di APIUM 2007. Sejak itu beliau terpaksa berulang kali menjalani kimoterapi dan menetap di rumahnya di Johor Bahru. Semangat beliau yang kuat melawan penderitaan didepan beliau tidak menghalang beliau mengajar di sebuah kolej komuniti di Pasir Gudang..


Zalikah memang seorang yang cekal dan sangat positif ( http://zalikah. blogspot. com/). Tulisannya menggambarkan ketabahan beliau menahan kesakitan akibat derita yang ditanggungnya serta semangat juang & komitmen beliau bersama jemaah juga memang tidak dapat dinafikan.


Beliau dijumpai terjatuh dalam bilik air ketika sebahagian Muslimin menunaikan solat Jumaat semalam.. Zalikah tidak sedarkan diri dan berlaku pendarahan yang banyak..tepat jam 1.30 petang di hari Jumaat yang mulia...perginya insan yang sangat kita cintai dan hormati pengorbanan dan komitmen beliau bersama-sama menggerakkan usaha dakwah dan tarbiyah semenjak dari APIUM Nilam Puri hinggalah ke bumi uniperdana bersama PMIUM...rasa sebak silih berganti mengingatkan beliau yang tidak kenal erti penat lelah membawa momentum baru dalam gerakan muslimat di UM..


Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Masai selepas solat Maghrib. Semoga Allah merahmati dan membalas keikhlasan Almarhumah Nurul Zalikah sepanjang kehidupan dengan amal soleh dan menanti Cinta Allah dan Rahmat-Nya di syurga, Insya Allah.. Moga kita mencontohi kesungguhan beliau...


"Usia muda bukan jaminan mati ditangguhkan. Persiapkan amal bekalan di hari kemudian..Semua akan kembali kepadanya.."




Catatan ingatan buat sahabat,
Al Marhumah Nurul Zalikah Md Zan
1984-2009


Oleh ;
(akhi karim abd rahim)

16 November 2009

Walimah Urus Generasi Marsis ; Tahniah atas baitul dakwah ini!



Akhi Kamaruddin Rapi
Ex Presiden Marsis 06/07
&
Ukhti Halidah Untong
Ex Timb.Presiden Marsis 07/08

pada 12 Disember 2009 bersamaan dengan 25 Zulhijjah 1430H 
dikediaman akhi Kamaruddin, KG Tg Batu Keramat, Tawau,
Dengan kehadiran sahabat sahabiah dapat lagi menyerikan Majlis Perkahwinan ini dan semoga mendapat redha dan rahmat daripada Allah SWT.

"Family-marsis mengucapkan tahniah atas baitul dakwah yang bakal didirikan ini, moga penyatuan ini adalah penyatuan fikrah, penyatuan jemaah, penyatuan amanah ummah, penyatuan agama dan penyatuan generasi amilin Islam. Moga ia dianugerahi Allah dengan sakinah, mawaddah dan rahmah berkekalan ke hujung hayat kami. Hayat cintanya kekal sampai ke Syurga"

10 November 2009

Montoku & Lihing, Ancaman Remaja Islam di SABAH

Salam alayk.. "Montoku & Lihing, Ancaman Remaja Islam". Itulah tajuk entri yang menghiasi blog penulis kali ini. Bagi suku kaum Kadazan Dusun non Muslim di Sabah, montoku dan lihing merupaka sesuatu hidangan yg penting terutama apabila ada majlis-majis keramaian ataupun perayaan. Kedua-duanya merupakan sejenis minuman yang memabukkan dan termasuk di dalam ketegori 'ARAK'.

Lihing, minuman memabukkan

Dalam kehidupan yang berbilang kaum di Sabah ini, montoku dan lihing tidak menjadi masalah bagi umat Islam kerana ia fenomena biasa untuk menghormati adat dan budaya masyarakat setempat khususnya kaum kadazan dusun selagi ia dalam kawalan. Namun, apa yang perlu dikhuatirkan di sini apabila terdapatnya kedai-kedai runcit yang menjual montoku dan lihing secara terbuka. Hal ini perlu kita lihat secara serius kerana penjualan barang-barang memabukkan seperti arak memerlukan lesen dan tidak boleh dijual sewenang-wenangnya.

Penjualan montoku dan lihing tanpa kita sedari memberi ancaman kepada remaja Islam. Seperti yang kita ketahui, dalam usia remaja inilah merupakan laluan sukar bagi seseorang individu kerana terdedahnya kepada gejala-gejala sosial yang merumitkan.
Penulis pernah melalui sebuah kedai runcit yang menjual montoku dan lihing secara terbuka, apa yang menyedihkan adalah diantara pelanggan yang membeli minuman ini adalah 4 orang pelajar sekolah menengah yang lengkap beruniform dan berbeg. Ini satu perkara yang serius!

 Tambah-tambahan lagi, pelajar berkenaan dari riak mukanya beragama Islam. Apabila penulis mendatangi mereka, mereka dengan pantas menyembunyikan botol minuman tersebut ke dalam beg.


Gejala ini kian menular dan mengancam remaja Islam khususnya di bumi Sabah. Cuba kita fikirkan, jika perkara ini berlaku di kawasan bandar, macam mana pula dengan remaja yang tinggal di kawasan luar bandar? adakah mereka lebih teruk dari ini?

p/s: Semoga pihak yang berwajib dapat mengambil tindakan dalam membendung penjualan minuman memabukkan ini. Sesungguhnya arak adalah raja kejahatan.!!

sumber artikel : Saudara ZulZaim

09 November 2009

Sajak Penguat Jiwa Para Pejuang




Keyakinannya Tidak Mati-mati.

Terbelah pecah dadanya, terlindung gelita malam,
Awan berarak seketika, merasa tersentuh jua,
Rimbun daun menyaksikan pada nafas penghabisan,
Tetapi keyakinannya tidak pernah mati bersama.

Apakah dapat dimatikan dan dimusnahkan
Pada kepercayaan yang dalam tertanam?
Manakah penabur baja yang tajam kejam
Maka tertembus benteng waja keyakinan.

Terdedah luka dalam pucat wajah,
Masih ada keteguhan di amata yang tidak pejam,
Bersimbah darah meresapi bumi dipijak,
Semangatnya terus bersama rakan yang melanjutkan.

Itulah wajah keberanian dan keyakinan
Kaum perjuangan yang tidak terlumpuhkan!

Usman Awang
1958


06 November 2009

Doa Rindu buat Mereka~OPKIM 09

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...
Sesekali menjenguk blogku yang seusai teguh meniti waktu.
Andai ia berbicara, pasti kata rindu menyapa,
" Bilakah masa aku ingin bersama pemilikku?".
Aku menjawab," Sudah Pasti sekarang ada masa untukmu. Namun hanya sebentar cuma ku memberi rasa buatmu..Bersabarlah...".

Entah sejak akhir ini, madahku seakan berbunga. Bukan kerana hati mekar kerana bunga menerpa, tapi terkadang aku merasa perlu memberikan keindahan tiap bahasa, andai disulam bait puspawarna bersama alunan bicara berhikmah. MasyaAllah.. Namunku harap pembaca bisa mengerti bahasa yang hanya ku simpulkan sedikit tersirat bersama makna yang mudah dimengertikan.

Alhamdulillah..Segala Puji Bagi Allah..Tuhan Semesta Alam, Pemilik Hati dan Nyawa.. Panjatku rasa syukur ini kerana memberi kekuatan selama hidup ini hingga kini.. Syukur nikmat ini kita panjangkan dalam setiap hela nafas kita. Terkadang ucapan syukur kurang menjadi bahasa indah menterjemah rasa nikmat. Bersama kita sematkan kalimah Thoiyibah sebagai tanda syukur pengucapan kita.Alhamdulillah..(buat diriku jua...)

Hari Sabtu lalu..
Suatu kenangan yang manis buatku dan juga teman-teman Sabah dan Sarawak. Kami berkesempatan melaksanakan operasi khidmat masyarakat bersama anak-anak yatim dan tahfiz di Madrasah Hasyimiah, Selayang. Tampak perjalanan tidak sejauh mana, namun terdetik dihati apakah bahasa pengantar yang sesuai buat media pengantara dengan mereka. Anak-anak ini adalah dari keluarga Myanmar lantaran itu, bahasa yang terfikir adalah bahasa Inggeris. (bahasa Myanmar? sorang pun x pandai..hehehe)




Tugasku di sana sebagai jurugambar bersama kamera SLR (kepunyaan Saiful..tQ bagi aku guna..). Memang kehadiran pelawat dialu-alukan ke madrasah ini untuk bersama meluangkan masa dengan anak-anak yatim yang sudah tidak punya ayah dan ibu. Aku sempat berkenalan dengan dua orang adik,Harun dan Mohamad. Umur sekitar 12-15 tahun dan mereka antara yang 'senior' di sana. Hem..fikiran kami agak meleset bila asyik terfikir soal bahasa. Kebanyakan anak-anak di situ ada yang fasih berbahasa Melayu. Dan tidak kurang berbahasa Inggeris.


Bila tugasku mengambil gambar, aku sempat men'dekat'kan lensa kamera untuk menatap wajah adik-adik ini. Jelas wajah keriangan memberi erti yang sangat bermakna buat mereka titipkan kenangan suka bersama kami. Tambahan ketika mereka menyanyikan nasyid selawat, terasa runtun jiwaku bila alunan merdu adik Anuar dengan irama urdu yang mendayu menikam segenap hati-hati kami. Benak hatiku mendoakan moga Allah memelihara mereka sepanjang jalan hidup ini.

Kami bagaikan adik-beradik pada masa itu. Makan bersama, ada yang masih kecil disuapkan, ada yang sendirian dihiburkan. Kasih sayang dicurahkan walau sekejap umpama hujan rintik membasahi bumi. Setitik anugerah hujan memberikan kenikmatan buat hidupan sekalian. Sedikit aktiviti diadakan bersama sudah cukup memberikan keceriaan pada mereka.

Sewaktu melangkah pergi menuruni tangga, aku bersama teman-teman terdiam sejenak. Bagaimana mereka selepas ini? Yang pasti, kami merindui saat dan detik itu hingga kini. Lelah jerih tiada rasa bila mengenang anak-anak ini. Bila ku tatap gambar-gambar ini, bagai ingin terbang bertanya khabar, menghulur kemesraan semula.

Moga Allah kirimkan doa rindu ini, dengan berharap mereka sejahtera dan sentiasa tabah menghadapi kehidupan dengan keimanan dan kekuatan dari Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Artikel Dipetik dari sahabat kita : farhan hafiz a.k.a hanzsensei...
http://hanzsensei.blogspot.com/

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes