25 November 2009

Salam Aidil Adha


24 November 2009, Menggatal,Kota Kinabalu - Alhamdulillah, setinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t. Semoga setiap ketika dan dimana pun kita berada, hidayah Allah sentiasa terus bersama dengan kita, anak-anak muda yang cinta akan Islam, agar Islam akan terus kukuh di bumi Borneo ini.


Mahasiswa merakyat, adalah mahasiswa yang dapat turun bersama rakyat dan membawa isu-isu rakyat untuk diperjuangkan. Begitulah iniseatif yang telah dilakukan oleh Mahasiswa Borneo yang telah mengadakan kunjungan ziarah di Kampung Lobou, Menggatal Kota Kinabalu. Beberapa ahli MARSIS juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama mengikuti kunjungan dan ziarah yang sangat bermakna ini. Kita juga rasa bertuah kerana beberapa orang rakan aktivis Mahasiswa yang berasal daripada Semenanjung turut hadir untuk sama-sama menjayakan program tersebut.


Kg. Lobou adalah kampung yang didiami oleh penduduk tempatan, majoritinya berketurunan Dusun. Kehadiran kami, para Mahasiswa disambut baik oleh para penduduk kampung. Meskipun penduduk Islam, adalah kumpulan minoriti di kampung tersebut namun kemesraan dan keramahan penduduk menjadikan para peserta program merasa seperti berada di kampung sendiri. Meskipun cabarannya tetap ada, seperti gurau senda anjing-anjing penduduk tempatan kepada peserta program, namun ini hanyalah cabaran kecil yang harus dihadapi. Mungkin sekadar ucapan Selamat Datang dan Salam Perkenalan, anjing peliharaan tersebut kepada para peserta.




Aktiviti ziarah yang dilakukan, dengan berkunjung ke beberapa rumah penduduk kampung telah memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keadaan Kg. Lobou yang sebenar. Betapa mereka memerlukan infrastruktur yang mencukupi, setanding dengan penduduk yang mendiami di kawasan bandar. Antara masalah utama, ialah bekalan air yang sering putus, menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air anak sungai yang mana kadar kualiti kebersihan air anak sungai tersebut sangat diragukan. Sistem saliran kampung tersebut yang tidak teratur, menyebabkan anak sungai tersebut agak kotor dan berlumut.




Salah seorang penduduk yang ditemui, menceritakan bahawa penduduk Islam di kampung tersebut sering mengadakan pertemuan di majlis dan kuliah ilmu yang diadakan di Surau kampung tersebut. Hubungan mereka dengan penduduk bukan Islam tetap mesra, kerana sama-sama saling memahami dan menghormati agama masing-masing.

Apa yang menyedihkan, terdapat usaha-usaha pendakyah agama lain yang cuba memberikan bantuan berupa kupon makanan harian. Melalui kupon ini mereka boleh mendapatkan barangan dapur di beberapa supermarket berdekatan. Kita memandang perkara ini sangat serius, kerana dengan cara sebegini gejala murtad mudah berlaku.


Aktiviti ziarah yang dilakukan, menjelaskan kepada kami, bahawa terdapat beberapa keluarga yang sepatutnya dibantu oleh mana-mana pihak berwajib. Terdapat beberapa rumah yang sepatutnya menjadi perhatian Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Sabah, kerana keadaan rumah agak usang dan lebih mengharukan kerana didiami oleh adik-adik yang masih kecil dan bersekolah.



Mahasiswa merakyat akan memperjuang nasib rakyat. Kami ini juga, bukanlah siapa-siapa, kami bukan salah seorang ahli parlimen yang boleh berkata-kata dalam Dewan Rakyat. Namun kami sentiasa menarik perhatian masyarakat agar cenderong dengan keadaan pelbagai masalah dalam setiap lapisan masyarakat. Segala maklumat dan respon yang kami perolehi di kampung tersebut akan kami panjangkan kepada pihak-pihak berwajib. Di samping kami mengharapkan penglibatan lebih ramai lagi badan-badan NGO untuk turut sama-sama membantu.

Tiada perbezaan dalam Islam, yang menyatukan kita semua adalah asas akidah Islam, menghasilkan persaudaraan dan ukhwah Islamiyah. Hanya Taqwa kepada Allah s.w.t akan menjadi bekalan kita semua walau dimana pun kita berada bandar,kampung, pedalaman, dan apapun status kita dalam masyarakat.


Terus maju para kader-kader dakwah. Ketahuilah bahawa Bumi Sabah ini sentiasa menantikan kehadiran anda. Semoga konsep 1 Malaysia yang diwar-warkan oleh ayahanda Perdana Menteri Malaysia dapat dirasai dan dipraktikkan di setiap pelusuk tanah Malaysia yang bertuah ini.

Terima kasih dan sejuta penghargaan kepada para penganjur program. Kepada rakan-rakan yang datang jauh dari Seberang Semenanjung, Sarawak dan semuanya, Sila datang ke Sabah lagi !!! Sekian, terima kasih. Wassalam.




Terima kasih daun keladi,
Ada jodoh jumpa lagi.















0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes