06 August 2009

Hancur ISA !!!!

Bismillahirrahmanirrahim…
Syukur kehadrat Allah s.w.t kerana kita masih diberikan satu hari lagi untuk menanam amal kebajikan, satu hari lagi untuk memohon keampunan, namun kematian datang tanpa perhitungan hari, justeru kualiti amalanlah yang perlu kita pertingkatkan.
1 Ogos 2009 – Masjid Jamek, penulis sedang bersama dengan para wartawan melihat dan memerhatikan tindakan pihak polis yang menutup laluan ke Masjid Jamek untuk orang ramai menunaikan Solat Zohor.

Hari ini ada 2 peristiwa besar yang sedang berlaku, Demonstrasi Anti ISA yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI ) dan satu pihak lagi yang menyokong ISA, mereka menggelarkan diri mereka sebagai Pro ISA. Nampaknya istilah ‘PRO’ ini telah melebar dari medan kampus ke zon jalan raya namun malangnya digunakan oleh pihak ini.
Pada awalnya penulis berada di Masjid India untuk turun sama-sama memberikan sokongan kepada para pencinta rakyat dan membela rakyat. Setelah agak lama, maka kelihatan satu kumpulan polis muncul yang terus menjerka dan memberikan arahan untuk menangkap sesiapa saja yang mereka curigai. Hukum hutan rimba, bila rakyat biasa dilayan seperti penjenayah. Rakyat yang tidak pun memberikan sebarang ancaman kepada pihak polis, mereka hanya ingin menyampaikan hasrat dan pendirian mereka agar ISA ini dimansuhkan.


Justeru kita sebagai seorang manusia wajar menilai, dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Demonstrasi tidak akan berlaku apabila pihak pemerintah mendengar dan mengambil tindakan atas suara hati rakyat, demonstrasi tidak akan berlaku jika rakyat percaya kepada pemerintah. Tetapi apabila semua mekanisme dirasakan kurang memberikan kesan maka jalan yang paling efektif adalah turun membawa isu ini bersama rakyat ke medan rakyat.
Mungkin ada dikalangan kita yang menyatakan apalah sangat kesan daripada berdemonstrasi ini? Saya nyatakan kesannya adalah untuk masa depan generasi kita bagi memperjuangkan keadilan dan menjunjung nilai perikemanusian. Mungkin hasil itu tidak berlaku hari ini atau esok, tapi kita ingin semua orang melihat,mengambil perhatian, sekurang-kurang timbul persoalan dan rasa hairan kenapa orang sanggup membawa bersama ahli keluarga, datuk dan nenek yang masih kental turut hadir, para cendekiawan,ilmuwan turut sama memberikan sokongan agar akta ini terus dihapuskan.

Satu demi satu, rakyat dihumban ke dalam lori Black Maria. Namun tidak sedikitpun menggentarkan anggota demonstrasi yang berada di dalam Masjid India. Dengan dipandu oleh kumpulan sukarelawan Unit Amal, terus mara bergerak kearah pihak polis unit FRU.

Keadaan semakin genting dan panas, kalimah Lailahaillah terus dilafakan untuk menaikkan semangat para anggota demonstrasi. Mereka terus perlahan-lahan bergerak kehadapan, dan pihak polis terus bersiap sedia.

Satu das tembakan pistol dilepaskan ke udara, memecah suasana kota. Lantas pasukan FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata kearah penunjuk perasaan. Siapa pun berada pada waktu itu, terus berlari mencari tempat perlindungan. Sepanjang pemerhatian penulis, pasukan FRU ini terus berdiri, seperti gas pemedih mata ini tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka. Mungkinkah mereka mengambil apa-apa jenis ubatan ? Mungkin anda mempunyai cerita untuk dikongsi bersama ?

Beberapa tangkapan terus dilakukan, lagak Unit Tindakan Khas ( UTK ) atau nama jalanannya Special Branch sangat tidak menyenangkan hati penulis. Sesiapa sahaja mereka hendak tangkap, pantang melihat gaya anda yang mencurigakan pasti mereka akan kearah anda.

Laungan Takbir terus bergema, Allahu Akhbar, Allah Maha Besar, menguasai segala apa-apa yang dimiliki oleh pihak polis. Kumpulan Anti Isa yang berada di Masjid India terus bergerak ke Sogo, kerana tempat berkumpul telah ditukar ke sana.

Stesen Komuter Masjid Jamek, terus sunyi. Hanya kedengaran bunyi kereta dan motorsikal pihak polis saling berbunyi bersilingan. Kemudian sikit demi sedikit kumpulan Masjid India terus keluar bergerak ke Sogo, begitu juga peluru demi peluru gas pemedih mata terus dimuntahkan oleh FRU. Orang tua, Ibu-ibu, kanak-kanak turut menjadi mangsa. Gas putih yang tidak mengenal mangsa, topeng penapis nampaknya tidak memberikan sedikit perlindungan pun kepada penulis. Sakit dan siksa, itulah yang boleh penulis katakan pada 10 minit yang pertama bila anda terhidu gas pemedih mata ini.

Mata anda akan terasa pedih, kemudian menjadi merah dan mengeluarkan air mata. Seterusnya gas yang anda hidu, akan masuk kedalam kerongkong, sangat pedas. Menyebabkan anda menjadi muntah dan menjadi lemah untuk seketika. Penulis yang bersama dengan beberapa penunjuk perasaan yang lain, langung bertanyakan keadaan masing-masing. Memberikan air untuk dibasuh di muka, bagi meredahkan sedikit kesan pedih keatas muka. Penulis sangat menyanjung seorang pacik tua yang turut duduk bersama, dengan tenang masih boleh mengukir senyuman sedang airmatanya deras mengalir keluar.

Semua orang panik, namun saling bantu-membantu dengan memberikan air botol dan garam, serta beberapa bahan lain bagi meredakan kesakitan.
Bersambung…

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes