05 September 2008

Suara Kritikan Mahasiswa Sabah

Alhamdulillah kita masih lagi dapat bersua di pagi 2 Ramadhan ini. Allah masih lagi memberikan kita semua peluang untuk meneruskan kehidupan di dunia milikNya ini. Mudah-mudahan kita manfaatkan peluang yang diberikan ini dengan sebaiknya dengan melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarangnya. Moga dengan itu kita diterima sebagai hambaNya yang soleh. Insya Allah.


Pagi ini, saya sempat mengintai-intai beberapa laman akhbar maya untuk melihat secara sepintas lalu isu-isu yang berlaku sama-ada dalam negara dan di luar negara. Seperti biasa, isu dalam negara banyak berkisar mengenai senario politik semasa yang menjurus kepada satu pelan perubahan kuasa yang diagendakan oleh parti pembangkang (pakatan rakyat) iaitu pada 16 september. Tarikh keramat ini disebut-sebut oleh pimpinan pembangkang manakala di sebelah kerajaan pula menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini.

Justeru untuk memberi keyakinan kepada rakyat, satu upacara menandatangani perjanjian akan dilakukan oleh ahli dewan rakyat BORNEO yang sebelum ini ada ura-ura menyatakan mereka telah hilang keyakinan kepada barisan Nasionmal selaku parti pemerintah. Tapi, melalui laporan yang diberikan oleh laman web sabah-kita.net, tidak semua ahli parlimen bersetuju untuk berbuat demikian dan ada yang menolak sama sekali.


Perubahan kuasa, keuntungan kepada rakyat? Mengamati akan perkara ini, saya cuba berkongsi dengan pembaca akan beberapa perkara sebagai pertimbangan untuk kita menilai sejauh mana perubahan kuasa yang dicanangkan dapat menyembuhkan luka rakyat khususnya rakyat di negeri sabah ini. Andai kata perubahan yang diperkatakan adalah perubahan kuasa dengan makna kuasa memerintah itu diberikan kepada rakyat maka kemungkinan keuntungan akan berbalik kepada rakyat. Ini suatu natijah yang baik. Tetapi, andaikata perubahan ini hanya memindahkan kuasa dari tangan penguasa A kepada penguasa B yang mana mereka berdua mempunyai sifat yang sama cuma wajah yang berbeza, maka ketahuilah penderitaan dan kesengsaraan rakyat tidak akan terubat jua.


Saya menulis atas kapasiti orang sabah dan pengalaman bergelumang dengan hempas-pulas sosioekonomi serta budaya di Sabah. Oleh itu apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan akan perkara ini, maka kita menyambut baik dengan harapan ia akan melahirkan suatu sinar baru kepada rakyat sabah. Kita juga meminta ahli-ahli parlimen sabah berttindak dengan meneliti akan situasi keadaan sabah sekarang dengan tujuan melepaskan mereka dengan belenggu ini selama mana rakyat sabah menderita sejak dari merdeka lagi. Jika anda berfikir seperti itu, maka kami menghargai anda dan sewajarnya serta layaklah anda dipanggil sebagi pemimpin rakyat.KITA MAHUKAN PERUBAHAN ATAS NAMA KEBAIKAN!

Di sebalik derita Sabah...



Sabah adalah suatu negeri yang amat kaya. Perkara ini tiada seorang pun boleh nafikan. Hasil apa yang tiada di Sabah? Hasil laut; maka lihatlah berapa banyak pelantar milik Syarikat minyak Gergasi di pesisir pantai Sabah. Petronas dan juga Shell pelabur utama industri cari-gali minyak di bumi ini. Selain minyak, hasil mahsul laut yang lain seperti industri penternakan ikan misalannya yang berkembang pesat sesuai dengan ciri muka bumi pesisir pantai sabah yang berteluk serta terlindung dari angin kencang dan ribut.


Laut turut menyumbang seribu macam perusahaan dan industri yang mempunyai prospek masa hadapan yang sangat baik. Lihat sahajalah kedudukan geografi sabah itu sendiri, yang mana ia sangat sesuai dibangunkan sebagai port persinggahan kapal-kapal perdagangan dari seluruh dunia. Tetapi, mengapa port-port kapal ini hanya dibangunkan di semenanjung sahaja? Ini salah satu bentuk kezaliman tanpa sedar yang menyebabkan berlakunya pembangunan tidak seimbang di negeri Malaysia timur ini. Malah, situasi ini sungguh menekan rakyat disebabkan negeri tumpah darah mereka tidak dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik serta terjamin. Itu sebabnya kita melihat penghijraan besar-besaran anak-anak muda Sabah ke semenanjung terutamanya di Kuala-Lumpur.



Itu baru laut, belum lagi kita bicara pasal industri pelancongan serta potensinya. Sedarkah anda bahawa gunung tertinggi di Asia tenggara terletak di mana? Di mana satu-satunya Pusat pemuliharaan Orang utan di negara ini? Di mana pulau yang mempunyai terumbu karang tercantik di dunia? Di mana hutan simpan yang telah diiktiraf oleh UNIESCO sebagai khazanah pra-sejarah katanya? Di mana negeri yang mempunyai suku etnik teramai dengan bermacam budaya serta rencam bahasa? Semua jawapan ini akan anda jumpai di Sabah. Nah! bukankah jika pembangunan serta perancangan industri pelancongan itu dibuat secara telus tanpa korupsi maka kita melihat bahawa industri ini sahaja akan menyuntik berbillion hasil kepada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.


Tapi, malang sekali apabila yang memerintah itu bukan manusia bahkan yang memegang tampuk kepimpinan itu adalah buaya! Maka segala kesengsaraan dan kepahitan itu semuanya ditanggung oleh rakyat. Tambahan pula rakyat sendiri masih tidak mahu berubah serta kekurangan sumber informasi dan juga maklumat. Oleh yang demikian, rakyat jugalah menanggung beban ini walaupun negara sudah merdeka selama 50 tahun.

Kemiskinan tegar sinonim kepada rakyat sabah Sabah merupakan antara penyandang juara kemiskinan tegar! Boleh kita analogikan ia seperti, petani yang bersawah tapi mati kelaparan kerana tiada beras. Seolah-olah macam itu.. Negeri yang kaya tetapi rakyatnya miskin. Di sabah, apabila ada kampung yang mana penduduknya bergantung dengan air sungai untuk minum dan keperluan keluarga, itu sudah dikira mewah. Berbanding dengan kampung yang mana penduduknya mengusung baldi merentasi bukit-bukau semata-mata unruk mendapatkan air bersih.

Itu satu contoh yang boleh saya berikan untuk menggambarkan kepada pembaca situasi sebenar dan mengapa perkataan kemiskinan tidak menjadi kehairanan kami di Sabah. Ya, kita tidak nafikan ada golongan yang berada di negeri ini. Tapi, kita bicara akan penduduk luar bandar yang duduk di pedalaman negeri ini. Bahkan mereka merupakan majoriti terbesar. Mengapa selama 50 tahun negara merdeka dan dikatakan sebagai negara yang membangun kita masih tidak mampu menyalurkan bekalan air bersih dan elektrik kepada seluruh rakyat sabah umpamanya.. Atau mungkinkah pedalaman sabah itu terlalu jauh nun di sana sehingga tidak mampu dimasuki oleh arus pembangunan selama 50 tahun diusahakan!
Tahun lepas, berita di MalaysiaKini memaparkan seorang anak menteri di Sabah telah disiasat BPR ekoran harta semasa yang dimiliki adalah tidak seimbang dengan pendapatannya. Mungkin juga siasatan itu hasil dari laporan orang ramai yang sudah bosan dengan tindak-tanduk buaya serta konco-konconya ini. Kita sudah menjangka-kan hasil siasatan ini, iaitu tiada kes dan fakta yang jelas kata BPR. Maka, prosiding dibuat sebenarnya hanya untuk memuaskan hati rakyat semata-mata dan cuba menonjolkan integriti sesebuah pihak. Tidak lebih dari itu.
Saya pernah duduk semeja atas kapasiti wakil Mahasiswa dengan Timbalan ketua Setiausaha Negeri, serta Pengarah-pengarah besar jabatan kerajaan dan swasta ketika membincangkan mengenai suatu sambutan keraian peringkat negeri suatu masa dahulu. Saya sungguh terkejut apabila mesyuarat memutuskan untuk budget bagi jamuan teh menteri kabinet ialah sebanyak RM 19 000!! Dan ada suara yang menyatakan bahawa kira baguslah budget nie sebab sama nilai dengan jamuan teh tahun lepas katanya. Bayangkan, nilai RM 19 000 itu kalau di berikan kepada rakyat atau diusahakan satu peluang pekerjaan kepada mereka untuk program pembasmian kemiskinan sekuarang-kurangnya manfaat itu kembali semula kepada rakyat juga.

Bahkan ketika itu saya selaku wakil Mahasiswa yang sedang berusaha untuk mencari budget bagi program pembangunan remaja, merasa amat kecewa kerana pengalaman saya program yang dibuat terpaksa menggunakan duit Mahasiswa sendiri kerana kerajaan mahu berjimat katanya!

Untukmu Sabah yang Baru!

Saya adalah Mahasiswa. Dan saya membawa suara Mahasiswa atas perkiraan dan pendirian saya sendiri sejajar kedudukan saya sebagai golongan intelektual dalam negara. Saya mengkritik bukan atas sebab benci tetapi atas landasan perasaan sayang dan tanggungjawab. Sayang kita kepada pemimpin dan juga tanah air kerana kedua-duanya berasal dari rumpun yang sama. Cuma kadang-kadang sikap tamak menyebabkan pemimpin terkelabu matanya dan tidak lagi memandang maslahat rakyat. Itu yang perlu ditegur oleh Mahasiswa.
Jika teguran-teguran seperti ini tidak mahu diambil oleh sang pemimpin tertinggi, maka Mahasiswa pasti akan mengetuai rakyat untuk suatu perubahan yang besar. Iyalah.. Buat apa kita mempunyai pemimpin yang dia sendiri tidak mahu memahami penderitaan kita dan menutup telinga terhadap semua aduan serta nasihat kita. Ingat! kami yang memilih anda. Kalau bukan rakyat, siapa anda??



Tuntasnya, kita di peringkat Mahasiswa Sabah khasnya menuntut supaya satu perubahan telus dibuat serta-merta oleh pihak yang memerintah. Bukan perubahan kosmetik semata. Apa guna kita berbangga dengan pembangunan di kota kalau ramai rakyat marhaen masih sengsara. Buktikan bahawa anda boleh memimpin dan jangan sampai kami menukar kepimpinan anda. Gunakan peluang semasa iaitu kedudukan sabah yang sekarang ini telah menjadi anak emas kerajaan pusat ekoran tsunami poltik yang lepas sebagai medan untuk kita berbincang dengan lebih banyak lagi dengan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat dan bukan kepentingan saku baju sendiri.

Mahasiswa juga mengingatkan kepada rakyat supaya menyambut baik sebarang perubahan yang dilakukan andaikata tujuannya untuk kebaikan rakyat. Kita jangan segan-silu untuk melakukan perubahan jika semua keperluan serta tuntutan kita tidak diendahkan. Ingat! perubahan yang dibuat adalah untuk kepentingan rakyat dan juga anak-cucu kita di masa akan datang. Jangan sampai tipah tertipu lagi. Biarlah tipah tertipu lagi, tetapi rakyat tidak sekali-kali akan tertipu!
Oleh : Akh Zulhilmey Makmud
Mahasiswa Utm Skudai (Timb.Presiden PMIUTM)
http://kembarasanghamba.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes