09 September 2008

Kemenangan Kurup di kerusi Pensiangan batal, tak sah


Oleh Hassan Omar dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup (gambar) di kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu batal dan tidak sah.

Hakim David Wong Dak Wah membuat keputusan itu dalam penghakimannya terhadap petisyen yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan sama ada pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan atau tidak, selepas 22 September ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata mahkamah mempunyai tempoh 14 hari untuk memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengenai keputusan itu dan Kurup juga boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh yang sama.

"Sekiranya Kurup memutuskan tidak mahu membuat rayuan, SPR akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil dalam tempoh 30 hari selepas 22 September ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menang kerusi Pensiangan tanpa bertanding selepas Pegawai Pilihan Raya (RO), Bubudan OT Majalu, menolak kertas pencalonan Danny pada hari penamaan calon 26 Februari lalu.

Wong dalam penghakiman 36 muka surat, berkata Bubudan tidak boleh mengubah keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Rafidah Datu Derin, yang mengarahkan kertas pencalonan Danny diterima.

Arahan Timbalan Pengarah SPR mengikut Seksyen 4 Akta Pilihan Raya 1954 harus dipatuhi Bubudan walaupun peraturan menyebut RO mempunyai kuasa membuat keputusan.

Wong berkata, bantahan yang dibuat wakil Kurup terhadap kertas pencalonan yang dikemukakan Danny juga tidak mengikut undang-undang.

"RO membuat keputusan salah apabila menolak pencalonan pempetisyen," katanya ketika membaca kertas penghakiman selama kira-kira setengah jam bermula jam 10.15 pagi.

Danny diwakili peguam Ansari Abdullah, manakala Kurup sebagai responden pertama diwakili peguam Alexander Decena. Bubudan sebagai responden kedua pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, L Chandra Devi dan Suzana Atan.

Dalam petisyen yang dikemukakan pada 9 April lalu, Danny meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada penamaan calon 26 Februari lalu, Bubudan mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Danny lewat mengemukakan borang pencalonan.

Danny dalam petisyennya menjelaskan beliau tiba di dewan berkenaan pada jam 9.35 pagi dan membayar RM10,000 sebagai deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya. Beliau menyatakan hanya satu kaunter disediakan SPR di dewan berkenaan.

Sementara itu, Decena berkata beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Ansari pula bersyukur kerana hak Danny untuk bertanding dalam pilihan raya sudah dikembalikan.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes