11 March 2012

[Berita] MARSIS sokong pertahan tanah adat.

Keratan HarakahDaily 9 Mac 2012 bertajuk "Mahasiswa Sabah sokong pertahan tanah adat" ;

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat  pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.

“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus (gambar).

Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang  kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.

Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa  Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.

Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.

Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.

“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.

“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat  atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.

_____________________________________________________________

Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) menyatakan sokongan sepenuhnya tuntutan TABAH bagi mempertahankan tanah adat pada 12 Mac ini dalam Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123 Bangkit).

Penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Sabah bukan sahaja sebagai tindakan zalim malah menunjukkan undang-undang turut dicabuli. Kes ini sewajarnya dipandang serius oleh semua pihak terutama pemerintah bagi menjaga hak rakyat.

Berdasarkan 6 sebab kenapa pertahankan tanah adat yang dikemukakan oleh Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) iaitu:

1) 977 aduan tidak diselesaikan sehingga tahun 2012
2) Tanah adat adalah mutlak rakyat dirampas tanpa sebarang pampasan
3) Alasan pembangunan dan infrastruktur bagi mengaburi mata rakyat
4) Pencerobohan tanah adat sehingga menyebabkan sistem aliran sekitarnya tercemar
5) 632 kes proses permohonan tanah dan geran tanah menjadi kes tertunggak
6) Rakyat kehilangan punca pendapatan apabila tanah mereka dirampas

Berikut antara aduan pencabulan hak tanah adat atau Native Customary Rights Land ( NCR ) yang masih lagi tidak diselesaikan sehingga ke tahun 2012 ini :-

1. Pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran, dan lain-lain (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 632 aduan
2. Pengambilan Tanah/Land Acquisition (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 53 aduan
3. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet sebagai hutan simpan (Jabatan Perhutanan Sabah) = 63 aduan
4. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SAFODA (Sabah Forest Development Authority) = 23 aduan
5. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang diberikan kepada LIGS/Agropolitan yang diusahakan oleh LIGS (Lembaga Industri Getah Sabah) = 6 aduan
6. Tanah NCR termasuk dalam kawasan SFI (Sabah Forest Industries) = 3 aduan
7. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SLDB (Sabah Land Development Board) = 3 aduan
8. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada Jabatan Parit dan Saliran = 1 aduan

Apakah itu NCR?

NCR adalah satu undang-undang biasa yang memperuntukkan bahawa hak tanah untuk kaum peribumi di pegang mengikut adat berterusan selepas andaian kedaulatan di bawah peneroka penjajah. Biasanya kerajaan mempunyai akses dalam NCR yang berkaitan dengan pengurniaan hak untuk memiliki peruntukan tertentu tanah bagi tujuan pertanian dan ekonomi.

Dalam keinginan untuk 'membangunkan', Kerajaan Negeri Malaysia dan Sabah telah mengusir beribu-ribu penduduk tempatan dan peribumi Malaysia dari tanah mereka. Tanah mereka dirampas dan sering dijual kepada pihak ketiga perusahaan komersial untuk ladang kelapa sawit dan kilang penapisan. Selalunya, mereka yang telah kehilangan tanah dibiarkan tanpa pembelaan undang-undang atau hak untuk merayu keputusan negeri dan ramai yang telah diabaikan tanpa pembelaan atau pampasan.



Oleh yang demikian, MARSIS bersama front mahasiswa Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) dan Watch13 akan mengadakan himpunan mahasiswa bangkit mempertahankan tanah adat Sabah pada 12 Mac 2012 ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada jam 12:00 tengahari.


Justeru, semua anak muda khususnya mahasiswa dijemput bersama-sama bagi menyatakan sokongan terhadap 123 Bangkit.




Kemaskini dan disunting oleh,
Exco Perhubungan dan Penerangan MARSIS PUSAT 11/13
Dg Siti Khairunnisa Ismail

09 March 2012

ANAK SABAH PRIHATIN : ITULAH KITA

Bismillahirrahmanirrahim.Assalamualaikum dan salam perjuangan buat semua sahabat yang insya’ Allah masih berusaha untuk menjadi seorang hambaNYA yang bersyukur.Semoga iman dan Islam yang dianugerahkan itu masih terjaga dalam niat kerana Allah. 

Sebelum saya memanjangkan kalam ini,izinkan saya menghadiahkan kepada kalian sepotong Kalamullah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya ” – Surah An-Nahl,ayat 90. 

Sekarang ini sahabat,negeri kita berada dalam keadaan yang sangat genting dan mendesak.Kezaliman yang dilakukan orang pihak yang tidak bertanggungjawab membuatkan rakyat negeri kita senyap daripada membuat sebarang pengaduan.Ini berlaku bukan kerana mereka berasa takut tetapi kerana mereka sudah ketahui bahawa aduan mereka hanya akan dipandang sepi. 

Berikut antara aduan pencabulan hak tanah adat atau Native Customary Rights Land ( NCR ) yang masih lagi tidak diselesaikan sehingga ke tahun 2012 ini :- 
1. Pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran, dan lain-lain (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 632 aduan 
2. Pengambilan Tanah/Land Acquisition (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 53 aduan 
3. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet sebagai hutan simpan (Jabatan Perhutanan Sabah) = 63 aduan 
4. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SAFODA (Sabah Forest Development Authority) = 23 aduan 
5. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang diberikan kepada LIGS/Agropolitan yang diusahakan oleh LIGS (Lembaga Industri Getah Sabah) = 6 aduan 
6. Tanah NCR termasuk dalam kawasan SFI (Sabah Forest Industries) = 3 aduan 
7. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SLDB (Sabah Land Development Board) = 3 aduan 
8. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada Jabatan Parit dan Saliran = 1 aduan 

Bagi saya,ini antara aduan yang diterima secara rasmi.Belum lagi aduan dan rampasan yang berlaku secara tersembunyi oleh mana-mana pihak yang tidak jujur dalam menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat.Oleh itu saya menyeru kepada semua sahabat agar turut serta menyatakan sokongan NGO TABAH pada 12 Mac ini dalam usaha untuk menuntut pembebasan kezaliman terhadap pribumi Sabah yang tertindas selama ini. 

Adalah menjadi tanggungjawab kita selaku mahasiswa yang berada di perantauan untuk menyebarkan dan memahamkan kondisi sebenar negeri kita kepada rakyat agar mereka jua menjadi individu dan komuniti yang peka.Sebarkan kebenaran selagi mana ianya tidak melanggar syariat Allah.Dua perkara yang perlu dijaga dan diambil kira iaitu Syariatullah dan Sunnatullah.Jika dua ini beriringan,insya’ Allah kita tidak akan lalai.Seumpama pelajari ilmu fardhu kifayah ( Sains,Kalkulus dan sebagainya ) dan ilmu fardhu ain ( Solat,Baca al-Quran,pengurusan jenazah dan sebagainya ) yang mana jangan ambil salah satu dan jangan pula tinggalkan salah satu.Ambil keduanya agar penghayatan ilmu dan taqwa kepada Allah bertambah. 

Akhir kata dari saya,sahabat semua dan saya sendiri agar dapat menjaga prinsip dan pendirian untuk mencari kebenaran selagi hayat dikandung badan dan sepanjang menjadi musafir di atas bumi ini.Kita adalah khalifah Allah.Tugas kita selain menuntut ilmu,kita jua seorang hamba Allah,seorang anak,seorang pejuang,seorang pemimpin dan seorang ‘manusia’.Seimbangi urusan dunia dan akhirat.Paling penting,bijaklah dalam membuat pilihan.

Timbalan Presiden,
Siti Rosinah.

15 January 2012

[Iklan program] Program Anak Angkat SABAH bersama PSS


Musim cuti sudah pun menyinggah. Ramaikah kamu-kamu yang tercari-cari program anak muda Sabah di Sabah ketika cuti semester ni? Persatuan Siswazah Sabah dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia akan mengadakan program bersama Keluarga Angkat Kg Karambunai.

Aktiviti: Tautan Kasih, gotong royonh, sumbangan Back to School, pemeriksaan kesihatan, sukan rakyat dll.

Tarikh: 20-21 Januari 2012

Tempat: Surau Al Kauthar, Kg Karambunai, Sabah.

Sumbangan dana sempena Program ini bolehlah disalurkan melalui Sdr Azizul Julirin (SU Agung PSS) - sila rujuk poster untuk no.akaun

Jika ada pertanyaan lanjut mengenai program ini, boleh ajukan kepada:-
1. Sdr Lamin Siamir Utc (0132003920)
2. Sdr Mohamad Zul Hilmey (0137143840)

13 January 2012

[Aktiviti] Perkabaran dari MARSIS Pantai Timur!

Assalamualaikum geng!

Pengumuman! Untuk pengetahuan semua, atas dasar ingin mengumpulkan mahasiswa SABAH yang belajar di IPTA/S sekitar Pantai Timur, maka beberapa orang sahabat saya telah mencetuskan idea untuk membina satu cawangan MARSIS di Pantai Timur. Hal ini untuk memudahkan pertemuan dengan mahasiswa Sabah disana. Family MARSIS Pantai Timur baru sahaja ditubuhkan sekitar hujung 2011.  Maka, aktiviti yang baru ini adalah hasil dari cetusan idea Family MARSIS cawangan Pantai Timur dengan kerjasama MARSIS Pusat.

Oleh kerana program ini asalnya bukan dibawah rancangan asal MARSIS Pusat, saya memohon maaf kerana lambat untuk mengiklankannya di dalam blog. Maklumlah, masing-masing kita baru usai peperiksaan :)

Maka, bagi mana-mana mahasiswa SABAH sekitar PANTAI TIMUR, anda di jemput KHAS ke program Tautan Ukhuwwah ini.

Dan, bagi mana-mana mahasiswa SABAH yang berada di luar area Pantai Timur, anda semua juga dijemput khas untuk mengikuti program ini  sambil mengisi cuti semester ^_^

Berikut maklumat program;

Tarikh: 19 & 20 Januari 2012
Tempat : Sri Aur Challet, Melawi, Kelantan
Yuran : RM20.00 ( penginapan & makanan ) 2 hari 1 malam

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi :

Andi : 019 800 1306
Rahman : 014 558 6469
Umie : 013 439 0566

Anjuran : Marsis Cawangan Pantai Timur dengan kerjasama Markas Siswa Siswi Islam Sabah Pusat





Disediakan oleh,
Dg Siti Khairunnisa Ismail,
Lajnah Perhubungan dan Penerangan MARSIS Pusat 11/13
dskhairunnisa@gmail.com

02 January 2012

Perutusan 2012: Aura baru mahasiswa!

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Selamat menempuh TAHUN BARU dengan aura kehidupan yang lebih baik. 

Seperti yang kita sedia maklum, di bumi semenanjung Malaysia, 2012 disambut dengan pelbagai aktiviti yang sangat bermanfaat untuk masyarakat umum dan sangat-sangat berbeza dari tahun-tahun sebelum ini. Tapi saya tertanya-tanya, bagaimana pula dengan keadaan bumi Sabah ku yang ku CINTA? Apakah program-program disana berbentuk mendidik jiwa? Atau semata-mata hiburan sahaja?

Oleh itu, kami diperingkat pimpinan Markas Siswa Siswi Islam Sabah yang bertapak dibumi semenanjung Malaysia menyeru kepada mahasiswa Sabah yang berada di akhir semester 2012, jangan lupa untuk pulang berbakti kepada tanah tumpah darah kita sendiri. Saya berdoa moga kita dapat lakukan sesuatu sekembalinya kita ke bumi Sabah. Harapan SABAH itu sangat besar dan berada dipundak kita selaku generasi bakal pemimpin

Selain itu, berhubung isu yang berlaku di UPSI, kami di peringkat pimpinan MARSIS mengecam sebarang unsur penindasan dan kezaliman yang telah dilakukan ke atas mahasiswa tersebut. Kecederaan yang telah dilakukan oleh pihak tertentu adalah melampau dan melebihi batas hak kebebasan suara yang telah diberikan kepada setiap warganegara Malaysia. Pada pandangan saya secara peribadi, tindakan ini sungguh biadab dan tidak bertanggungjawab! Kami sangat berharap agar pihak yang terlibat dalam menangani dan menguruskan kes ini mengambil tindakan segera. Kami bersama-sama mereka yang sanggup memperjuangkan isu-isu dan masalah-masalah mahasiswa diperingkat nasional. 

Mahasiswa generasi muda beridealism perlu ditangani dengan akal & minda, bukan dengan belantan dan pukulan. Jika benar mereka 'salah', jemput mereka bertemu & bincang atau debatlah - Ustaz Zaharuddin, Penolong Professor UIAM. 

Menyentuh isu “Kebebasan Akademik” yang sedang diperjuangkan secara serius diperingkat mahasiswa. Kami, sebagai mahasiswa berpendapat, ia perlu diberikan kepada mahasiswa dalam kerangka yang strategi ( pendekatan secara keseluruhan yang berkaitan dengan pelaksanaan dan perencanaan ) sebagai satu dimensi baru dan medan percambahan idea anak muda. Kita semua sudah maklum bahawa sekatan pada mahasiswa hanya akan menjadikan mereka bertindak agresif apabila ruang dan peluang mereka ditutup. Seharusnya pihak kerajaan lebih bersikap memantau bukan menyekat. Ketahuilah bahawa buah fikiran mahasiswa cerminan masa depan negara. 

Akhir sekali, seluruh barisan pimpinan MARSIS mengucapkan SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN penggal separuh akhir kepada seluruh MAHASISWA MAHASISWI ISLAM SABAH yang berada di seluruh Malaysia dan Luar Negara! 


24 December 2011

~Selamat Menduduki Peperiksaan~

 Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran

Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru dan lain-lain kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan ibu bapa kita, pihak penaja dan juga kepada semua untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

07.Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

p/s: artikel ditujukan khas bt adik-adik, anak-anak yg akan menempuh peperiksaan..Bersihkan Hati, Luruskan Niat..Insya'ALLAH akan peroleh kejayaan kelak...

sumber: Iloveislam
post by: Dr Munirah
 
-------------------------------------------------------------------------------------------
Salam Imtihan Dari Kami,
MARSIS pusat.

03 November 2011

Salam Aidiladha buat semua :)


Assalamualaikum. Dengan nama Allah yang Maha Hebat KasihNya! 

"kalau hanya berdakwah, kita memang bisa, tapi apakah kita bisa cinta dengan dakwah? cinta itu perlukan pengorbanan, waktu, tenaga dan harta" -Sang Murobbi

Sempena kedatangan hari kebesaran Islam, kami dari pimpinan MARSIS Pusat mengucapkan Salam Aidiladha kepada seluruh warga FAMILY Markas Siswa Siswi Islam Sabah.

Sabda Rasulullah s.a.w “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

31 October 2011

Jom sambut Hari Raya Korban bersama Family MARSIS!


Salam Zulhijjah!:) Semoga anda semua masih bersemangat menempuh perjalanan kehidupan. Alhamdulilah, sekali lagi, Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) akan menganjurkan Lambaian Hari Raya Korban (LAMBAN).

Sudah menjadi kebiasaan anak rantau, jaraaaang kita balik ke Sabah, kan?. Atas kesedaran dan ikatan persaudaraan sesama kita, maka MARSIS mahu mengumpulkan  mahasiswa/i SABAH yang tak balik beraya.

Penyertaan ini adalah TERHAD dan ditujukan kepada semua Mahasiswa Islam SABAH yang menuntut di IPTA/S sekitar semenanjung Malaysia. Seluruh mahasiswa/wi SABAH di jemput untuk join bersama. Kali ini, insyaAllah, Family MARSIS akan mengadakan sambutan Hari Raya Haji di dua tempat yang berasingan untuk meraikan sahabat-sahabat semua. Tak tahu mana satu mau pergi? Pilihlah tempat yang hampir dengan kampus anda:

7 November 2011 : KG TEKIR, LABU, NEGERI SEMBILAN. (perkampungan orang asli). 
Untuk turut serta ke LAMBAN Negeri Sembilan, sila hubungi Saudari DAYANG - 013 898 5302.

5 & 6 November 2011 : PANTAI SERI AUR RESORT, BACHOK, KELANTAN.
Untuk turut serta ke LAMBAN Bachok, Kelantan, sila hubungi Saudara ANDI MOHAMMAD - 019 800 1306

INFO LAMBAN  KG TEKIR, LABU, NEGERI SEMBILAN.
Peserta LAMBAN Negeri Sembilan diberi pilihan samada hadir sehari awal (6 November) dan bermalam disana atau hadir pada hari kejadian (7 November). Berikut tentatif yang boleh dirujuk:

YURAN: TIADA

6 November 2011
6:00pm : Berkumpul di KTM LABU

Penginapan: Ada disediakan
Agenda: Persiapan untuk “Lambaian Hari Raya Korban” keesokan harinya

7 November 2011
9:00am: Berkumpul di KTM LABU (bagi peserta yang datang pada 7 November)

10:00am: Program Lambaian Hari Raya Korban bermula

Aktiviti:
- Sesi “Korban” : menyembelih lembu/kambing bersama warga Kampung Orang Asli
- Gotong-royong | Masak-masak :)
- Mengagihkan daging korban kepada orang kampung

6:00pm: Program dijangka berakhir

Pengangkutan: Van ADA disediakan bermula & bertempat di Stesen KTM LABU menuju ke  KG TEKIR, LABU, NEGERI SEMBILAN.

Alert! bagi yang datang menaiki kenderaan awam, sila berkumpul di Stesen KTM LABU pada 9 pagi.

INFO LAMBAN  BACHOK, KELANTAN

YURAN: RM20 (termasuk Makan dan Penginapan sepanjang 2 hari)

5 November 2011
2:00pm : Berkumpul di Pantai Seri Aur Resort
5:00pm – 11pm : Program bermula (Persiapan, Taklimat program, Takbir Raya, MARSIS Talk)

6 November 2011
8:30am: Solat Hari Raya beserta aktiviti
12:00pm : Jamuan Raya berserta aktiviti
5:00pm : Program dijangka berakhir

Manual Perjalanan untuk ke LAMBAN Negeri Sembilan;

Manual Bas:-Naik bas yang berdekatan kampus dan turun di:

1. Terminal Bersepadu Selatan - Ambil keretapi dari "Stesen KTM Bandar Tasik Selatan" menuju terus ke Stesen KTM Labu. Nanti di sana akan ada BAS yang telah disediakan untuk ke Lokasi (Kg Tekir)

2. Hentian Putra. Ambil keretapi di Terminal Putra menghala ke Stesen KTM KL Sentral menuju terus ke Stesen KTM Labu.  Nanti disana akan ada BAS yang telah disediakan untuk ke Lokasi (Kg Tekir)

Manual LRT:-
Bagi kampus yang berhampiran dengan stesen LRT, ambil stesen LRT yang berhampiran dan turun di Stesen LRT KL Sentral. Kemudian tukar perkhidmatan awam LRT kepada KTM KL Sentral menuju terus ke Stesen KTM Labu. Nanti disana akan ada BAS yang telah disediakan untuk ke Lokasi (Kg Tekir)

Manual KTM:-
Bagi kampus yang berhampiran dengan stesen KTM, naik stesen KTM yang berhampiran dan turun di Stesen KTM LABU. Nanti disana akan ada BAS yang telah disediakan untuk ke Lokasi (Kg Tekir).
 
(*) Untuk Manual Perjalanan LAMBAN Bachok Kelantan, sila hubungi langsung Saudara Andi - 019 800 1306




23 October 2011

Program akan datang: Hari Raya Haji bersama Family MARSIS!


Scrol blog ini dengan nama Allah :) 

Akan datang! sekitar November ini, insyaAllah Family MARSIS akan mengadakan sambutan Lambaian Hari Raya Korban atau dikenali sebagai LAMBAN. Berkemungkinan besar, LAMBAN kali ini akan diadakan di 3 tempat mengikut zon tertentu iaitu Zon Bangi (sekitar USIM), Zon Pantai Timur dan Zon Utara. Spesifikasi hari, waktu dan tempat masih dalam perbincangan. Bagi mahasiswa SABAH yang tidak balik ke SABAH, all are invited!

Jadi, Mohon doanya ya! moga segala urusan dan gerak kerja kami dan adik-adik yang menguruskan program tersebut di Pantai Timur serta Utara dipermudahkan Allah (ameen...)

Untuk mengetahui BILA dan DI MANA program ini akan berlangsung, pastikan anda rajin-rajin melawati ;

Blog Family MARSIS


 Twitter @Family_marsis

Ada cadangan atau soalan? sila comment dibawah. Terima kasih  (◦˘⌣˘◦)

20 October 2011

Catatan IBJ 2011: kelahiran baru "Duta Islam"!

Foto: Khairunnisa
Mari memprogramkan diri dengan teliti

Di dalam konsep Sedekah, si pemberi sedekah lebih banyak menerima (balasan), berbanding si peminta sedekah. Tetapi, di dalam Islamic BORNEO Jamboree, orang yang memberi tarbiah mendapat balasan dari Allah sama banyak dengan orang yang meminta ditarbiah! malah mendapat lebih lagi kerana Allah itu Maha Pemurah.

Apa itu tarbiah?

Penulis Quantum Tarbiah, Pak Solikhin Abu Izzuddin menjelaskan bahawa tarbiah itu ertinya berubah, tetapi perubahan tanpa program dan perencanaan akan gagal. Tarbiah bekerja sebagai langkah pendidikan, pembinaan dan pembentukan peribadi yang teratur, terarah dan sistematik.
"Gagal memprogramkan bererti memprogramkan kegagalan"
Alhamdulillah, pada 14 hingga 16 Oktober yang lalu, MARSIS sekali lagi memprogramkan duta-duta baru Islam yang terdiri dari beberapa mahasiswa BORNEO yang datang dari seluruh kampus semenanjung Malaysia. Tidak lupa juga kepada beberapa mahasiswa semenanjung Malaysia yang turut serta di dalam program BORNEO ini.

Setibanya di kem semanggol pada jam 11.00 malam hari Jumaat.
Objektif asal program ini ialah:

1.Meningkatkan kefahaman asas-asas Islam kepada mahasiswa Sabah.

2.Memberikan bimbingan hala tuju mahasiswa di kampus.

3.Mengeratkan ukhuwah dikalangan mahasiswa Sabah di semenanjung.

4.Memperkenalkan MARSIS sebagai wadah kebajikan Sabah.






Foto: Adibah Dayana
Program IBJ ke 2 paling ramai disertai

Peserta yang tiba hampir mencecah 100 orang. 20 peserta dari KUIN terpaksa menarik diri disaat-saat akhir kerana terpaksa menghadiri program besar kampus. Peserta kali ini disertai oleh mahasiswa UMP, UM, USIM, GMI Bangi, IIC, UKM Bangi, UIA Gombak, IPG Cheras, IPIS Bangi, METC (Malaysia Airlines Engineering Training Centre), KIST, UTHM, UTeM dan UITM Shah Alam.


Foto: Mohd Hasrul
Di antara objektif program ialah "Meningkatkan kefahaman asas-asas Islam kepada mahasiswa Sabah"

"Iman dan Islam: Apa peranan kita?" di sampaikan oleh Ustaz Zul Amirul, mahasiswa Universiti Malaya.









Melawat kediaman penulis Syed Hussien Al-Attas. Foto: Mohd Hasrul
Allah Maha Hebat dalam merancang

Perancangan asal lawatan dakwah ke perkampungan orang asli Janda Baik tidak kesampaian kerana mereka sedang menguruskan sebuah kenduri perkahwinan. Belum pun sempat melaksanakan back-up plan, Syahira (timbalan pengarah program) terserempak dengan Tuan Syed Hussein Al-Attas atau lebih mesra dipanggil Pak Habib. Pak Habib dengan senang hati menjemput seluruh komiti dan peserta IBJ mendengar perkongsian beliau di kediamannya yang digelar University of Life, bersebelahan dengan Kem Semanggol milik Puan Ainon Mohd (PTS).

Foto: Adibah Dayana
Jadilah seorang DUTA ISLAM dimana saja kamu berada.


Perkongsian santai dan ringan. Pak Habib menyentuh tentang Adab seorang Muslim. Dimana pun kita berada, tunjukkan yang kita ini seorang Muslim. Bukan hanya pada pakaian, tapi pada perbuatan.
Foto: Mohd Hasrul
Pengalaman peserta

Selepas explorace dakwah, salah seorang pimpinan MARSIS, Saudari Rusinah bertanya kepada peserta, "Siapa di antara kalian yang pertama kali bersolat diatas tanah?"

Salah seorang daripada peserta dengan penuh semangat memberikan respon;

"mula tu, saya ragu-ragu jugak kak, tapi sekarang, baru saya tahu yang solat tu boleh dilakukan dimana saja (selain masjid, surau, rumah), yang penting tempat tu suci dari najis"


Moga pengalaman yang sedikit ini mampu memasakkan fikrah kepada para peserta tentang ISLAM itu MUDAH.

Foto: Mohd Hasrul
Medan latihan menjadi DUTA ISLAM

Bila ditanya, apa harapan kamu selepas datang ke program ini. Respon terbaik yang diterima; 
"Sabah perlukan lebih ramai lagi pemuda-pemuda seperti kita"
Selepas melalui dua Akrab discussion, peserta mula mendapat pencerahan tentang;

1. Apa yang SABAH perlukan.

2. Apa yang mereka perlu "jadi" untuk membantu SABAH.




3. Program apa dan dimana yang mereka boleh ikuti dan berkhidmat di SABAH.

4. Saluran untuk mengikuti perkembangan dakwah dan siasah di SABAH.

Saya sendiri berbincang dan mendengar perangkaan idea serta harapan mereka. Dengan itu, dapat saya simpulkan bahawa mereka telah bersedia untuk menjadi DUTA ISLAM sekembalinya mereka ke SABAH kelak. Saya juga berharap, resolusi yang telah dibentuk hasil dari Akrab discussion tersebut dapat dipraktikkan.

Foto: Khairunnisa
Kami dari pimpinan MARSIS Pusat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat Puan Ainon Mohd, pengasas PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd, Tuan Ahmad Jowel Nooh (Pakar Kaunselor), Pak Habib (Penulis),  Ustaz Zul Amirul (Pendakwah bebas - UM), Alumni MARSIS, seluruh penggerak Islamic BORNEO Jamboree, sahabat-sahabat yang datang dari seluruh kampus se-malaysia, Cikpuan Nur Fadhilah Md Daud (Admin ILuvIslam.com sebagai rakan media) dan semua jiwa-jiwa yang hadir dalam rantaian doa disana-sini. Allah pasti dan pasti membalas jasa kalian.



"Ukhuwah Tertaut, Islam dihayati"




Dg Siti Khairunnisa Ismail
Exco Perhubungan dan Penerangan
MARSIS Pusat 11/13


Foto kredit : Khairunnisa, Adibah Dayana & Mohd Hasrul (UMP)

11 October 2011

[Aktiviti] Kenduri kecil buat Graduan MARSIS 2011

Keluarga Besar "Family Marsis" cawangan Lembah Klang
         Assalamualaikum wa alhamdulillah, pada 7 Oktober 2011 yang lalu, MARSIS cawangan Lembah Klang telah menguruskan sebuah kenduri kecil dan doa selamat buat graduan MARSIS, bertempat di Rumah Balqis (a.k.a "RB"), Pantai Dalam. Walaupun tidak semua graduan MARSIS yang dapat hadir, namun rantaian doa kami ada bersama kalian. Moga ukhuwwah ini terus terpaut hingga kita bertemu dalam gerak kerja di Sabah dan pertemuan seluruh umat di Syurga kelak. Tahniah sekali lagi kami ucapan. Moga Allah merahmati dan membantu kalian dalam urusan gerak kerja dakwah, tarbiah & siasah kalian di bumi Sabah :)

 Kenang-kenangan



Para ibu-ibu yang banyak berjasa dalam mendidik anak-anak tarbiah MARSIS :)




Disediakan oleh:

Ds Khairunnisa Ismail
Exco Perhubungan & Penerangan
MARSIS Pusat.

Tahniah dan Selamat bergraduasi!


          Salam GRADUASI buat semua ahli Marsis dan seluruh Mahasiswa Islam SABAH yang bergraduasi pada tahun ini. Pimpinan Marsis mengucapkan tahniah atas kejayaan kalian mengenggam segulung ijazah.Semoga mutiara ilmu dan hikmah yang ditimba sepanjang pengajian memberi manfaat terbesar kepada diri dan ummah. Kepulangan kalian di nantikan di Bumi Sabah bawah bayu. Moga ada RUANG akan terisi, ada KHIDMAT bakal di beri. InsyaAllah.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes