11 March 2012

[Berita] MARSIS sokong pertahan tanah adat.

Keratan HarakahDaily 9 Mac 2012 bertajuk "Mahasiswa Sabah sokong pertahan tanah adat" ;

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (Marsis) menyokong sepenuhnya tuntutan Tabah bagi mempertahankan tanah adat  pada 12 Mac ini sebagai usaha untuk membebaskan rakyat daripada terus dieksploitasi dan diseleweng hak pemilikan tanah adat.

“Bagi menyatakan kebersamaan ini, Marsis sudah menjana golongan mahasiswa Sabah di seluruh Semenanjung untuk menyatakan sokongan terhadap isu ini,” ujar presidennya, Mohamad Matassian Ogus (gambar).

Menurutnya, selain Lembah Klang, ahli yang berada di Pahang, Kelantan, Melaka dan Johor akan turut serta dalam menyebarkan gelombang  kesedaran bahawa hak rakyat Sabah ditindas di negeri sendiri.

Sehubungan dengan itu, tegasnya, pihaknya selaku mahasiswa  Sabah yang berada di Semenanjung inginkan tuntutan tanah adat itu menjadi realiti dan dilaksanakan segera.

Tambahnya, rakyat Sabah kini sudah celik minda dan bukannya lagi boneka untuk diperlekehkan hak pemilikan tanah adat oleh mana-mana pihak.

Justeru, tegasnya Marsis menyeru agar pihak yang berkenan tidak lagi menggunakan kepercayaan rakyat dengan membiarkan hak pemilikan tanah dinafikan secara terang-terangan.

“Kami bertegas bahawa kezaliman mesti dihentikan daripada terus berlaku.

“Sabah itu negeri kita, maka wajarlah bagi semua mahasiswa yang berada di Semenanjung, Sarawak dan luar negara untuk turut sama menolak ketidakadilan yang berlaku daripada terus menyusahkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambahnya kembalikan tanah adat  atau tanah NCR yang menjadi hak mereka.

_____________________________________________________________

Markaz Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) menyatakan sokongan sepenuhnya tuntutan TABAH bagi mempertahankan tanah adat pada 12 Mac ini dalam Himpunan Rakyat Sabah Mempertahankan Tanah Adat (123 Bangkit).

Penindasan yang dilakukan terhadap rakyat Sabah bukan sahaja sebagai tindakan zalim malah menunjukkan undang-undang turut dicabuli. Kes ini sewajarnya dipandang serius oleh semua pihak terutama pemerintah bagi menjaga hak rakyat.

Berdasarkan 6 sebab kenapa pertahankan tanah adat yang dikemukakan oleh Bela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) iaitu:

1) 977 aduan tidak diselesaikan sehingga tahun 2012
2) Tanah adat adalah mutlak rakyat dirampas tanpa sebarang pampasan
3) Alasan pembangunan dan infrastruktur bagi mengaburi mata rakyat
4) Pencerobohan tanah adat sehingga menyebabkan sistem aliran sekitarnya tercemar
5) 632 kes proses permohonan tanah dan geran tanah menjadi kes tertunggak
6) Rakyat kehilangan punca pendapatan apabila tanah mereka dirampas

Berikut antara aduan pencabulan hak tanah adat atau Native Customary Rights Land ( NCR ) yang masih lagi tidak diselesaikan sehingga ke tahun 2012 ini :-

1. Pemprosesan permohonan tanah dan pengeluaran geran, dan lain-lain (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 632 aduan
2. Pengambilan Tanah/Land Acquisition (Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) = 53 aduan
3. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet sebagai hutan simpan (Jabatan Perhutanan Sabah) = 63 aduan
4. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SAFODA (Sabah Forest Development Authority) = 23 aduan
5. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang diberikan kepada LIGS/Agropolitan yang diusahakan oleh LIGS (Lembaga Industri Getah Sabah) = 6 aduan
6. Tanah NCR termasuk dalam kawasan SFI (Sabah Forest Industries) = 3 aduan
7. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada SLDB (Sabah Land Development Board) = 3 aduan
8. Tanah NCR termasuk dalam kawasan yang digazet kepada Jabatan Parit dan Saliran = 1 aduan

Apakah itu NCR?

NCR adalah satu undang-undang biasa yang memperuntukkan bahawa hak tanah untuk kaum peribumi di pegang mengikut adat berterusan selepas andaian kedaulatan di bawah peneroka penjajah. Biasanya kerajaan mempunyai akses dalam NCR yang berkaitan dengan pengurniaan hak untuk memiliki peruntukan tertentu tanah bagi tujuan pertanian dan ekonomi.

Dalam keinginan untuk 'membangunkan', Kerajaan Negeri Malaysia dan Sabah telah mengusir beribu-ribu penduduk tempatan dan peribumi Malaysia dari tanah mereka. Tanah mereka dirampas dan sering dijual kepada pihak ketiga perusahaan komersial untuk ladang kelapa sawit dan kilang penapisan. Selalunya, mereka yang telah kehilangan tanah dibiarkan tanpa pembelaan undang-undang atau hak untuk merayu keputusan negeri dan ramai yang telah diabaikan tanpa pembelaan atau pampasan.



Oleh yang demikian, MARSIS bersama front mahasiswa Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) dan Watch13 akan mengadakan himpunan mahasiswa bangkit mempertahankan tanah adat Sabah pada 12 Mac 2012 ini di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada jam 12:00 tengahari.


Justeru, semua anak muda khususnya mahasiswa dijemput bersama-sama bagi menyatakan sokongan terhadap 123 Bangkit.




Kemaskini dan disunting oleh,
Exco Perhubungan dan Penerangan MARSIS PUSAT 11/13
Dg Siti Khairunnisa Ismail

1 comments:

nampat said...

saya amat menyokong ,sepatutnya rakyat sabah tiap keluarga patut ada sekurang kurangnya 10 ekar tanah,lihat apa di buat oleh LKTNS sabah.mula mula di tubuhkan untuk mengagih kan rancangan peneroka..ttp telah melakukan pembohongan kepada rakyat .sldb sudah menjadi estate besar telah memiliki begitu besar kawasan..bukan untuk rakyat kemudian telah jual kepada bssb..mana janji kepada rakyat ? kami mau tuntut janji..banyak rakyat sabah hilang tercemar pendapatan oleh pembohongan sldb..

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes