23 November 2010

Perkongsian: Yang kita korbankan adalah Allah

Siapakah yang mengorbankan jahiliyyahnya? ~ Picture by ilman92 of deviant art.

Hari Raya Aidiladha memang telah berlalu. Tetapi itu tidak semestinya merupakan satu-satunya asbab untuk saya menyatakan hal pengorbanan. Kita biasa mendengar, dua cinta yang tidak akan bersatu dalam satu masa adalah cinta kepada Allah dan cinta kepada keingkaran.

Kita perhatikan semula dalam realiti kehidupan kita. Apabila menyentuh pengorbanan, kita bukan semata-mata melihat haiwan sembelihan. Sepatutnya, kita melihat juga hawa nafsu dan cinta kepada dosa. Tanpa kita sedari, apabila kita melakukan kemungkaran kepada Allah SWT, mengambil sistem lain selain daripada sistem Allah SWT, maka sesungguhnya yang kita korbankan adalah Allah SWT.

Bagaimana mengambil selain Allah sebagai Ilah?
“Mereka(Yahudi) menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai sembahan-sembahan selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” Surah At-Taubah : 31.

Di sini kita melihat bahawa, Allah menyatakan bahawa kaum yahudi telah menjadikan alim ulama’ mereka sebagai sembahan, berhala, tuhan. Namun pada hakikatnya, kita semua tahu bahawa mereka tidak menyembah alim ulama’ mereka. Apakah di sini, Allah telah silap menyatakan sesuatu?

Sesekali tidak. Namun, dinyatakan bahawa mereka mengambil alim ulama’ mereka sebagai sembahan, adalah kerana mereka telah mendahulukan kalam alim ulama’ mereka berbanding kebenaran yang Allah SWT tunjukkan. Apabila alim ulama’ mereka merubah isi taurat dan injil, mereka mengikuti. Apabila alim ulama’ mereka mengangkat Uzair dan Isa sebagai anak Allah, mereka mengikuti, membelakangkan apa yang telah dibicarakan oleh Allah SWT selama ini.

Maka secara tidak langsung, mereka meletakkan Allah di tempat lain, dan menjadikan alim ulama’ mereka sebagai Tuhan yang patut diikuti dan dipatuhi.

Mereka ‘menyembelih’ Allah SWT dari jiwa mereka, dan menuruti hawa nafsu mereka, membenarkan yang batil, mengisi jiwa mereka dengan kebatilan itu, dan mengambil keuntungan daripadanya.

Perhatikan kehidupan kita, apa ada waktu yang sinonim?

Perhatikan realiti kehidupan kita. Apakah ada ’skrip’ yang sinonim seperti peristiwa di atas?

Ya. Ada. Cuma mungkin yang diangkat menjadi Ilah itu berbeza.

Kita biasa mendahulukan bola, movie, game, berbanding solat. Maka itu semua kita angkatnya sebagai Ilah, mereka kita angkat lebih penting daripada Allah SWT.

Kita biasa mengambil pandangan kita, pandangan pemikir yang kita kagumi, berbanding dalil Al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW yang jelas dan qat’i, berusaha juga mencari alasan untuk membenarkan yang haram walau jelasnya telah dinyatakan di dalam dalil naqli. Maka kita telah mengangkat pemikiran kita, pemikir-pemikir kita, lebih daripada Allah SWT.

Kita mengambil sistem selain Islam, sedang Islam itulah satu-satunya sistem yang diredhai Allah SWT. Kita tolak hukum Allah, menyatakannya ortodok, sedang itulah yang Allah nyatakan sebagai cara hidup terbaik untuk manusia. Kita secara tidak langsung telah mengangkat sistem lain sebagai Tuhan, berbanding Allah SWT.

Kita mendahulukan kesenangan nafsu kita, berbanding perintah Allah SWT yang ingin menjaga kita. Kita hendak memuaskan hawa, walaupun peraturan Allah SWT itu jelas wujud untuk memberikan kemaslahatan kepada manusia. Maka kita telah mengangkat hawa nafsu kita sebagai Ilah, mengenepikan Allah SWT yang sepatutnya kita sembah.

Walau pada zahirnya kita mengucap syahadah. Walau pada kad pengenalannya kita Islam. Tetapi hakikatnya, tanpa kita sedari, Allah telah kita putuskan dalam praktis kehidupan kita.

Bilakah wujudnya Allah?

Semasa kematian. Semasa berlaku bala bencana. Semasa kesusahan. Semasa hendak menghadapi peperiksaan. Semasa saat tiada harapan. Di situ wujudnya Allah kita.

Pada tika lain?

Allah telah kita korbankan.

Apakah realiti kita?

Sebuah kitab bertajuk Iman dan 20 Perkara Membatalkan Syahadah, Maududi, Sayyid Hawwa, dan Syed Qutb, antara perkara yang diutarakan adalah: (saya memetik lima daripadanya)

1. Menggubal undang-undang ata peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia.

2. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.


3. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

4. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.

5. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.


Tidak saya senarikan kesemuanya. Namun, lima daripada 20 ini, apakah wujud di dalam kehidupan kita?

Penutup: Adha bukan hanya pesta. Tetapi peringatan untuk menyembelih jahiliyyah.

Kita sembelih lembu, kambing, unta. Bukanlah semua binatang itu datang bergolek untuk disembelih. Tetapi kita membeli bahagian-bahagiannya untuk dikorbankan. Di sini, Allah mendidik kita mengorbankan harta. Mengorbankan dunia.

Kita bergerak mengerjakan haji, penuh kesukaran, kepayahan, mengerah segala kudrat, mengorek simpanan, dan mengorbankan banyak masa. Allah mendidik kita bermujahadah, meninggalkan sebahagian perkara dunia yang selama ini kita cinta, mengorbankan mereka untuk mendekati Allah SWT.

Tidak kira sama ada yang berAidilAdha di Makkah mengerjakan Haji, atau yang berAidilAdha dengan berkorban di tanah sendiri, semuanya melakukan pengorbanan, membuang dunia dalam mendekati Allah SWT.

Dan pengorbanan itu kita lakukan, kita sanggup lakukan, kerana kita percaya bahawa Allah akan membalasnya. Allah akan membayarnya. Allah tidak akan sesekali memungkiri janjiNya.

Tetapi apakah didikan itu wujud dalam praktis hidup kita pada tika yang lainnya?

Tidakkah kita melihat, satu-satunya jalan merapati Allah SWT, adalah dengan mengorbankan jahiliyyah di dalam jiwa?

Atau sebenarnya Allah yang telah kita korbankan dalam jiwa kita?



Sumber artikel : Hilal Asyraf (LINK)

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes