sumber sabahkini.net |
TRAGEDI sedih penderaan seorang kanak-kanak, Fansyarina Abdullah, 7, di Tanah Rancangan Felda Sahabat Lahad Datu telah menyingkap hijab yang menutupi kemegahan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam bidang konglomerat perladangan.
Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian, Bahagian Silam, Kunsul Nahul, 53, berpendapat Felda kini gagal mengeluarkan para peneroka di Tanah Rancangan Felda daripada kepompong kemiskinan, sebaliknya memenjara mereka di ‘Sangkar Emas’ ciptaan Felda yang tidak kelihatan di mata kasar.
“Walaupun di atas kertas, para peneroka Felda menerima lebih RM1,500 sebulan daripada hasil 5.66 hektar kebun kelapa sawit mereka, namun hakikatnya mereka hanya membawa pulang RM50 sebulan; yang memenjarakan mereka terus di kancah kemiskinan tegar,” ujar Kunsul yang agak kesal dengan sikap pengurusan Felda di Sabah yang cuba menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan umum.
Oleh kerana para peneroka yang ramai anak tidak lagi dapat bergantung harap kepada tanah rancangan mereka, maka bagaikan burung, ramai di antara mereka terpaksa meninggalkan anak isteri untuk bekerja di luar dan ada di antaranya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari nafkah.
“Akibatnya, ramai isteri peneroka yang stress dan mengalami kemurungan apabila suami mereka mempunyai isteri lain di tempat kerja baru dan mengabaikan mereka. Kemiskinan menyebabkan mereka hilang kawalan diri dan bertindak ganas melepaskan geram kepada keluarga tersayang. Maka terjadilah penderaan dan keruntuhan rumah tangga,” ujar Kunsul yang menyifatkan kes penderaan di Felda Sahabat Anjung Teduh merupakan kes terpencil, namun ianya menjadi barah dalam daging masyarakat Felda yang dihimpit hutang yang bertimbun dan dinafikan hak mereka untuk bersuara.
Dalam kes penderaan yang kini masih dalam siasatan polis, kata Kunsul, seorang nenek kandung telah mendera cucunya sehingga mengalami trauma kerana tidak mempunyai pendapatan untuk menyara persekolahan anak dan cucunya; apatah lagi suaminya bernikah lain dan mengabaikannya sejak lima tahun lalu.
“Felda bukan sahaja gagal menangani masalah kegelinciran moral dan membebaskan peneroka daripada hutang yang semakin bertimbun, terutama memaksa peneroka mengambil pinjaman membesarkan rumah; malah cuba menjadikan Felda sebagai Wilayah Persekutuan yang baru dengan menggali parit di sekeliling ladang yang bersempadan dengan tanah adat dan mengimport ramai pekerja daripada Semenanjung,” ujar Kunsul yang meminta pihak pengurusan Felda lebih prihatin terhadap para peneroka yang selama ini mengalirkan keringat, darah dan airmata untuk membayar gaji pegawai yang sering lupa daratan.
“Secara luaran kita lihat para peneroka kaya kerana rumah mereka cantik dan berkereta besar. Ada yang macam istana, tetapi sebenarnya mereka berusaha mencari pendapatan di luar dan bukan daripada hasil kebun mereka. Ramai dibelit hutang antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk membaikpulih atau membina rumah mereka,” ujar Kunsul yang menggesa agar Ahli Lembaga Felda, Datuk Suhaili Said bangun daripada tidur untuk berpijak di bumi nyata.
Tegas Kunsul, sebagai Adun Tungku, Suhaili tidak mempunyai keberanian untuk berkata benar di Dewan Undangan Negeri Sabah dan gagal menasihati Felda untuk membela 872 peneroka yang dibebani dengan hutang dan berada di lingkungan putaran ganas kemiskinan.
Dalam pada itu, Sabahkini.net telah menjalankan kajian rambang dan mendapati dakwaan Kunsul adalah 100 peratus benar dan berdasarkan ‘slip gaji’ atau penyata pendapatan peneroka; memang benar kesemua 872 peneroka Felda di Lahad Datu adalah miskin tegar.
Berikut adalah contoh ringkasan akaun pendapatan Peneroka Sahabat 1, Anjung Teduh yang berjaya diselidik krew Sabahkini.net;
Nama Peneroka: AWANG OMAR BIN JAWATAN
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.84
Baki Tunai: RM50.00
Nama Peneroka: ABDUL SALAM BIN AMBO RAPPE
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,329.18
Baki Tunai: RM250.66
Nama Peneroka: MOHD ALI @ JAPAR BIN MIRAL
Jumlah Pendapatan: RM 1,579.84
Jumlah Potongan: RM1,529.18
Baki Tunai: RM50.66
(Nota: Potongan termasuk CBC, Bayaran Kembali, Caruman Hari Raya, Potongan JKKR, Kedai, Pinjaman Besar Rumah, Pendahuluan Tunai, Tanam Semula dan sebagainya.)
berita penuh sila rujuk : Sabahkini.net
0 comments:
Post a Comment