17 April 2009

Lebuh Raya Bayu KK!!!!! SDK !!!! TAWAU !!!!

Memetik berita yang dikeluarkan oleh Bernama. com iaitu :

SANDAKAN, 10 April (Bernama) -- Penduduk Sabah berharap agar diberikan sedikit keistimewaan daripada segi peruntukan pembangunan kerana negeri itu agak ketinggalan berbanding negeri lain.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata mesej itu berdasarkan kepada senario pilihan raya baru-baru ini yang menyaksikan Sabah dan Sarawak menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"Harapan penduduk negeri ini adalah pembangunan seimbang dapat diwujudkan terutamanya bagi pembinaan jalan-jalan kampung, bekalan air bersih serta elektrik," katanya di sini malam tadi pada majlis kesyukuran sempena kemenangan beliau sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti bulan lepas.

Penulis sememangnya menyokong penuh kenyataan yang diberikan oleh Datuk Bung Moktar Radin, dan sepatutnya saranan ini telah ditimbulkan sejak dulu lagi melihat kepada kemandoman pembangunan yang dinikmati negeri Sabah berbanding negeri yang lain.

Anak jati Sandakan, menjadikan penulis salah seorang saksi kepada pembangunan yang berlaku di bumi Sabah. Fokuslah kepada arah mana dan sudut mana pun, Sabah masih ketinggalan dari sudut pembangunan. Persoalannya kenapa perkara ini berlaku ? Anak- anak Negeri Di Bawah Bayu ini boleh berbangga dengan pengisytiharan Sabah sebagai negeri yang ke-2 terbesar di Malaysia, mempunyai Gunung Kinabalu tertinggi di Asia Tenggara , mempunyai sumber bahan mentah yang banyak samada kayu balak, sumber mineral, dan yang tidak akan berubah sampai bila-bila, Sabah adalah negeri yang pertama sekali mendapat cahaya matahari, disebabkan negeri ini berada di Timur Malaysia.

Tidak salah jika penulis menyatakan bahawa Dasar Pandang Ke Timur yang telah dilaksanakan oleh Tun Mahathir untuk negara mempelajari sistem pembangunan Negara Jepun dan Korea samada dari aspek teknologi, pendidikan dan ekonomi sepatutnya mendapat kesan dan faedah yang terbanyak untuk Negeri Sabah itu sendiri. Namun Bayu negeri Sabah tidak dapat memayungi seluruh tanah air tercinta ini, buktinya lihatlah kepada semua prasarana dan kemudahan yang wujud di Sabah. Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, penulis mengajak pembaca semua meninjau sejauh mana pembangunan dan sistem jalan raya di Sabah.

Antara contoh yang jelas, Kampung Tinosa yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Sandakan dan tidak kurang 10 kilometer daripada pusat Bandaraya Semulajadi Sandakan masih menggunakan jalan raya berturapkan tanah merah dan batu kerikil , meskipun berdekatan kampung ini telah didirikan sebuah Latihan Khidmat Negara untuk peserta PLKN dari seluruh pelusuk negara Malaysia, namun beginilah rentak nada pembangunan yang dipersembahkan pemerintah kepada penduduk Kampung Tinosa khususnya dan kepada semua rakyat Malaysia.
Itu adalah satu dalam seribu masalah yang dihidapi oleh rakyat Sabah, dan hakikatnya sedang nazak menanti tindakan yang sewajarnya daripada pihak pemerintah. Masalah yang lebih rumit dan kritikal lagi sudah tentulah di kawasan-kawasan pedalaman seperti di Tenom, Poring,Telipok, dan Lahad Datu turut mengalami masalah yang sama.

Pemandangan diatas menjadi salah satu bukti masalah penduduk Kg Tinata Kadamaian Kota Belud, kerana tidak tahan lagi dengan penderitaan jalan raya seperti ini. Mereka terpaksa berjalan kaki dengan mengangkut segala barang keperluan yang dibeli daripada kedai. Anak-anak sekolah terpaksa berjalan kaki berbatu-batu. Jalanraya ini adalah jalan utama yang menghubungi tiga kampung iaitu, Kampong Tinata, Gensurai dan Melangkap.

Mungkin situasi anak-anak kecil yang memegang sepasang kasut mereka lalu berjalan berkaki ayam sudah menjadi fenomena biasa di sana disebabkan sistem jalan raya yang tidak baik, menyebabkan jalan banjir dan lecak. Moga semangat mereka terus berkobar bersama keinginan untuk menuntut ilmu agar mereka dapat mengubah situasi ini suatu hari nanti.

Alhamdulillah, penulis bersama semua anak Sabah bersyukur kerana dikurniakan Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai ke-2 terpanjang di Malaysia. Sungai ini telah lama menjadi sumber kehidupan dan ekonomi bagi penduduk sekitarnya.

Namun amat malang, nikmat yang diberikan oleh Allah s.w.t masih tidak dapat dieksploitasikan secara optimum, kita masih terdengar rintihan penduduk Sabah terutamanya di pedalaman Sabah, merayu agar sistem perairan di tempat mereka dapat ditingkatkan. Begitu juga yang tinggal di bandar,kualiti air masih dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Ini bukanlah zaman awal kemerdekaan yang mana alasan seperti ketiadaan teknologi untuk mengatasi masalah ini atau kita mempunyai masalah pengurusan untuk memastikan kualiti air terjaga menjadi penyokong untuk kita melepaskan tangan daripada mengatasi masalah ini.


Mungkin benar, Sabah dan Sarawak merupakan tunjang kepada pemerintahan kerajaan yang ada sekarang. Dan mungkin benar, hal ini berlaku kerana penduduk Borneo masih mempunyai harapan kepada pemerintah sekarang. Malah tidak mustahil, jika prestasi seperti ini terus dipersembahkan kepada penduduk Sabah mahupun Sarawak, maka penulis bersama semua anak-anak Borneo akan menjadi saksi sekali lagi kepada sebuah pertukaran pemerintah yang lebih baik dan efisien, yang menjaga dan mengetahui masalah dan keperluan rakyat.

Justeru itu, penulis ingin mengajak semua warga Borneo, untuk lebih bersuara, sensitif dengan keadaan semasa, dan menanamkan perasaan cinta kepada ilmu. Hanya ilmu yang akan merubah kompleks dan percaturan masyarakat Sabah dan Sarawak kearah keadilan dan keharmonian, dimana toleransi akan pasti dijunjung bersama. Salam Perjuangan !!!! Wassalam.

Tinta Fikiran Labatta

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes