15 July 2008

Makanan Ruh berpengaruh ke atas akal

Disebabkan manusia terdiri daripada komponen jasad, akal, ruh dan nafsu, makanan ruh tidak kurang pentingnya. Dalam Islam, bacaan al-Quran, al-Hadis dan lain-lain seperti yang disebutkan di atas bukan sekadar makanan akal bahkan juga boleh dianggap sebagai makanan ruh. Aktiviti membaca dan mengkaji dalam Islam tidak dilihat dari segi kognitif semata-mata, ia harus disertai dengan aspek kejiwaan yang berusaha menjadikan ilmu yang diperolehi sebagai suatu landasan untuk merasai kebesaran Allah, justeru mendekatkan diri kepada-Nya. Banyak lagi makanan ruh yang boleh ‘disuapkan’ seperti berzikir, berdoa, berpuasa dan menziarahi kubur. Ruh yang sejahtera mampu mengatasi gangguan syaitan yang dapat mengganggu daya kreativiti daripada digunakan untuk jalan kebenaran.

Aspek kerohanian sesungguhnya amat penting untuk dikaitkan dengan daya kreativiti. Seyyed Hossein Nasr (1981) sebagai yang dipetik oleh Beaudin (2005) menyifatkan bahawa kemerosotan kesenian Islam dalam kalangan umat adalah disebabkan oleh kemerosotan keruhanian umat itu sendiri. Ia dipersetujui oleh Burckhardt (1987). Beliau malah menyanggah beberapa dakwaan palsu yang mengatakan bahawa kemerosotan tersebut adalah disebabkan oleh ‘kurangnya imaginasi’ dalam kalangan karyawan Muslim. Disiplin kerohanian majoriti tokoh-tokoh kreatif Muslim silam membenarkan lagi akan hal ini. Al-Ghazali sebagai contoh cukup tersohor dengan amalan kesufian. Perjalanan rohani beliau dari Baghdad ke Damsyik, Jerusalem, Hebron, Madinah, Mekah dan kembali semula ke Baghdad telah menyerlahkan lagi daya kreativiti beliau yang antara lain dapat diukur berdasarkan penghasilan karya-karya agung dalam pelbagai bidang; falsafah, fiqh dan puisi (Wan Hazmy, Zainur Rashid & Hussaini, 2003).

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes