17 June 2008

SET PEMIKIRAN YANG BETUL

Di sinilah saya mahu berkongsi contoh, bagaimana al-Quran mengemukakan set pemikiran yang betul supaya Rasulullah s.a.w itu dinilai dari pandangan dan pemikiran yang betul. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada suri teladan yang baik. Iaitulah bagi orang yang (1) meletakkan harap (matlamat) hidupnya hanya kepada Allah, (2) meletakkan harap (ganjaran kerjanya) pada Akhirat, dan (3) secara konsisten berkekalan mengingati Allah sebanyak-banyaknya” [Al-Ahzab 33: 21]

Benar, tidak semua orang boleh menghargai Rasulullah s.a.w sebagai teladan yang baik. Perlu ada muqaddimah pada paradigma pemikirannya sebelum kehebatan dan kebaikan junjungan mulia s.a.w. dapat dihargai. Seorang yang boleh menghargai Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan ini, perlulah berfikir dengan 3 asas pemikiran iaitu:

1. Hidupnya bermatlamatkan Allah.
Tujuannya Allah. Hidup untuk melaksanakan TUJUAN, akan bertolak ansur terhadap KEPERLUAN. Ukuran kejayaan rumah tangga di zaman Nabi s.a.w. bukanlah pada keupayaan suami memenuhkan peti ais dan memastikan 3 pinggan lauk terhidang setiap kali makan. Soal makan apa, tidak menjadi persoalan di zaman itu. Malah najis umat Islam di era itu tidak jauh beza dengan najis unta kerana makanan mereka tidak banyak berbeza! Sebab itulah, uswah hasanah rumah tangga Nabi s.a.w. tidak ada kena mengena dengan menu hidangan. Uswah hasanahnya adalah pada keelokan pergaulan dan layanan baginda s.a.w. kepada ahli keluarganya, adab dan sopan yang diamalkan dan senarainya panjang pada panduan Bait Muslim berasaskan SUNNAH.

2. Ganjaran amal adalah pada ganjaran Akhirat.
Fitrah manusia apabila bekerja, dia mengharapkan hasil dan ganjaran. Maka seorang yang boleh mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai suri teladan yang baik, mengutamakan ganjaran Akhirat berbanding dunia. Tanpa Akhirat, kita lemah semangat untuk terus berbuat kebaikan tanpa mendapat sokongan, galakan dan pujian warga dunia. Walhal kita lupa, Allah SWT yang Maha Baik itu pun jarang disyukuri dan dihargai. Siapa sangatlah kita untuk kebaikan yang dilakukan mendapat pujian? Namun, sekecil-kecil kebaikan pun, akan diperlihatkan dan diberikan balasan kebaikan, pada sebuah kehidupan bernama Akhirat. Jika ini menjadi pertimbangan kita, maka barulah kita boleh menghargai saranan Nabi s.a.w. agar mengalihkan kayu dari menyakiti pejalan kaki di jalanan, senyum dan salam kepada insan yang ditemui, dan pelbagai benda ‘remeh temeh’ dan kecil halus itu. Ia besar, bagi sebuah penilaian Akhirat.

3. Berkekalan dan banyak mengingati Allah.
Seorang itu harus sentiasa hidup dalam keadaan sedar dirinya berTuhankan Allah. Dia melakukan setiap satu perkara, seolah-olah dia melihat Allah. Seumpama seorang yang menjawab soalan peperiksaan ketika mana guru subjek tersebut berdiri berpeluk tubuh di depan mejanya memerhatikan jawapan yang ditulis! Tentu kepala kuat memerah mencari jawapan terbaik. Tentu segera timbul rasa menyesal kerana tidak menbaca betul-betul. Tentu masa itu juga sudah siap terasa malu sebelum keputusan peperiksaan diumumkan. Atau sekurang-kurangnya merasa diri dilihat Allah. Inilah yang dimaksudkan sebagai “the consciousness of the Creator“, yang terhasil sebagai hikmah galakan basmalah pada setiap awal amal.

Jika watak-watak ini ada bagi seorang insan, nyata dan teranglah pada dirinya kehebatan dan keunggulan Sirah Rasulullah s.a.w. sebagai uswah hasanah, kerana pemikiran dan paradigmanya sama. MELIHAT KEHIDUPAN DARI PANDANGAN PENCIPTA KEHIDUPAN!
Dan al-Quran serta al-Sunnah banyak melakukan hal ini iaitu membetulkan cara berfikir sebagai muqaddimah Syariah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com56000 Kuala Lumpur

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes