Oleh: Ukhti Rohana
Timb.Pengerusi MARSIS PUSAT
Dalam satu hadis, Nabi S.A.W bersabda: “sesungguhnya setiap amal itu adalah dengan niat, dan bagi setiap seseorag itu hanyalah apa yang dia niatkannya”.
Daripada hadis ini, dapat difahami bahawa nilaian ke atas amalan seseorang itu adalah dengan apa yang dia niatkannya. Sepertimana yang dijelaskan dalam hadis ini lagi, barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya, atau dunia, atau wanita, apa yang dia akan dapat, adalah apa yang diniatkan. Demikianlah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah, kepada manusia, dalam menjalankan perintah agama dan tuntutan kehidupan.
Niat seperti yang difahami biasanya, ialah apa yang terdetik di hati dan diiringi dengan perbuatan. Niat ini membezakan antara ibadah dengan adat. Ia seringkali dikaitkan dengan nilai ikhlas. Ikhlas ini pula menjadi kayu ukur bagi sesuatu amal itu, sama ada diterima Allah atau tidak. Di sini dinukilkan pendapat Imam Abu QasimAl-Qushari rahimahuLlah-seorang ulama` taswwuf yang sangat menekuni bidang ini-beliau menyebut bahawa ikhlas itu ialah “meninggalkan kehendak hati kepada Allah pada membuat ketaatan”. Beliau juga mendefinisikan ikhlas sebagai: ”membersihkan perbuatan daripada bercampur dengan makhluk. Dan Ikhlas itu ialah berjaga-jaga daripada mengambil kira dengan pandangan makhluk"
Elok juga dibawakan di sini bahawa Imam Fudhaiyl (seorang tabiin besar) bin ‘Iyadh pula ada menyebut: “Meninggalkan sesuatu pekerjaan kerana manusia adalah riya`, mengerjakan sesuatu pekerjaan kerana manusia adalah syirik dan ikhlas itu engkau selamat daripada kedua-dua perkara ini”.
Manusia diseru supaya melakukan amal ikhlas kerana Allah, seperti firman Allah dalam surah al-Bayyinah, maksudnya:
“Dan tidaklah diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”
Amalan yang diterima di sisi Allah ialah yang dilakukan ikhlas kerana Allah Taala. Amat rugi lah bagi mereka yang meletakkan selain Allah dalam melakukan amalan. Tiada yang diperolehinya dari amalan yang dilakukannya, melainkan penat lelah dan apa yang dihajatinya di dunia. Sedangkan pengharapan seseorang hamba itu hanyalah kepada Tuhannya. Terkadang hairan melihat mereka yang terus-menerus melakukan kebaikan untuk mendapat tempat di hati orang di sekelilingnya. Ada juga yang beramal supaya orang menyebut-nyebut akan kebaikan yang dilakukannya. Tidak diletakkan Allah sebagai matlamat perbuatannya itu. Mungkin kerana mereka lupa bahawasanya ganjaran yang paling agung adalah balasan baik di sisi Allah di akhirat kelak. Mudah-mudahan golongan ini mendapat petunjuk dari-Nya.
Bagi yang mengira amalan yang dilakukannya kerana Allah Taala, wajar diingatkan tentang tiga bahagian amalan yang ikhlas itu. Imam Nawawi membahagikan sesuatu amalan manusia itu kepada tiga:
· Amalan yang dikerjakan kerana takut kepada Allah, yang dinamakan ibadat hamba.
· Amalan yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala, ini adalah ibadat saudagar.
· Amalan yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan kerana dilasanakan hak kehambaan dan membuktikan kesyukuran serta merasakan diri seorang yang masih dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalannya diterima atau tidak. Amalan ini disebut ibadat merdeka. Inilah gambarannya amalan rasulullah dan jawapan apabila dipersoalkan tentang amalan yang dilakukannya sedangkan baginda telah dijanjikan syurga oleh Allah Taala.
Bagaimana dengan kita, sahabat-sahabat? Sama-samalah kita muhasabah, bagaimanakah pula aku dengan amalanku? Adakah benar-benar kerana Allah atau kebaikan atau kerana pandangan manusia, atau lain-lain.
Tulisan ini hanyalah sedikit daripada ruang lingkup perbincangan tentang niat dan ikhlas. Masih banyak lagi perbincangan tentangnya yang boleh dicungkil. Bagaimanapun, mudah-mudahan tulisan yang sedikit ini boleh menjadi pendorong agar kita sentiasa menetapkan niat yang ikhlas dalam setiap apa yang dilakukan dan menjauhkan diri dari sifat riya’ , ujub dan sebagainya.
Allah, redha-Mu kemuncak pengharapan kami….
0 comments:
Post a Comment