22 September 2011

Artikel: Agen Pemikir atau Agen Perubahan?

photo by dskhairunnisa

Kaum muda membuat sejarah dengan hati mereka.
Cendikiawan membuat sejarah dengan akal fikiran mereka.
Orang arif membuat sejarah dengan jiwa mereka.
Apabila hati, akal dan jiwa saling menunjang untuk membuat sejarah,
pasti sejarah tak akan pudar sinarnya dan tak akan padam obornya.
-Dr. Mustafa Assiba'i

Lihatlah sekeliling dunia, pelbagai peristiwa dalam helaian sejarah telah terbuku. Menanti insan-insan pemikir membedah dada zaman, mengurai misteri, mencari jalan penyelesaian dalam masalah yang acap kali terjadi. Mereka ini insan yang tak pernah berhenti untuk berfikir, membuat analogi, kesimpulan, analisis dan kajian demi kajian. Saya ambil contoh, ahli pemikir sejarah pernah membahaskan, wanita sebagai punca utama kejatuhan sesebuah negara, hatta sesebuah tamadun. Ahli arkeologi pula, sanggup menggadai nyawa, tetap cuba menyingkap rahsia sejarah sebuah artifak usang, yang bagi mereka tidak ternilai harganya.

Sejarah, satu subjek yang bukan praktikal, namun perlu difahami, diselami, hingga “meletakkan” diri didalam satu peristiwa untuk diteliti. Realitinya, ramai yang mengkaji tentang sejarah dan hakikatnya juga, ramai yang “seronok” memanipulasi sejarah. Setitik dakwat mampu membuat berjuta manusia berubah.

Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya -Voltaire

Bukan mudah untuk memanipulasi sebuah sejarah yang telah “hidup” berabad lamanya dalam jejak tinggalan zaman. Ini bermakna, mereka juga ahli pemikir, yang kreatif memesongkan fakta. Mereka adalah dari golongan manusia yang kecewa dengan ketentuan Pencipta, lantas memberontak dan hidup dalam bayangan Perosak Laknatullah.

Tidakkah kita dapat menyimpulkan bahawa mereka yang mensyukuri erti hidup untuk memberi, berusaha untuk mahu kehadapan, menjejak zaman lampau untuk memperbaiki tamadun yang ada menjadi suatu tamadun yang lebih hebat di masa depan. Mereka yang kecewa dengan Pencipta pula, tetap berusaha untuk merosakkan jejak silam dengan membina sebuah tamadun yang tidak menjanjikan taman-taman Syurga. Selebihnya adalah golongan yang pemalas ; duduk termagu, membingung, berkhayal dan hanya tahu berteka-teki hingga membiarkan masalah menjadi barah.

Bagaimana pula dengan kita?

Kita hanya membaca hasil kajian para idealis, sasterawan, hipokrit, pembela, namun tidak turut serta mencetus apa-apa harapan. Kita mampu membeli koleksi dan karya tulisan mereka, tapi tidak cuba untuk membina empayar sendiri. Mereka mengkaji, kita menjeling sepi. Sesekali “angguk-angguk, geleng-geleng”. Kita mungkin pernah mencetus rangkaian idea yang hebat, tapi sayang, bila sampai ke tahap pelaksanaan, kita kurang mampu. Bak kata bijak pandai terdahulu , menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan sepotong pesanan.

Apa yang perlu di lakukan? Jelaskan semula matlamat, bina semula kesatuan. Agenda perlu perangkaan rapi. “Kalau agenda anda tidak ditulis, anda tidak mempunyai agenda sama sekali” – Gerald A. Michealson. Ini bermakna, anda mungkin hanya mempunyai impian, visi atau mungkin hanya mimpi buruk.

Perlu diingat, jika anda mengaku seorang agen perubahan, anda perlu tahu bahawa agenda dan pelaksanaan tidak boleh di asingkan. Seseorang hanya boleh di iktiraf menjadi agen perubahan bila selesai di peringkat pelaksanaan. Tidak kira berjaya atau hampir berjaya, di sana telah tercetusnya usaha.

“Anda tidak tahu bagaimana musuh anda? Bertempurlah dan cari. Serangan yang penuh keyakinan hanya dapat ditentukan setelah beberapa lama bertempur. Serangan percubaan (pada kali pertama) bukanlah pertempuran yang berasingan, tetapi ia merupakan serangan awal. Lancarkanlah formasi terhadap keseluruh barisan hadapan musuh, maka anda akan kenali bentuknya (masalah & musuh)” - Strategis Eropah – Kapten Johnstone, 1916.

Moga kita dapat perbaiki kelemahan yang ada hingga mampu mencetus gagasan idea yang selaras dalam peringkat pelaksanaan.


Penulis: Ds Khairunnisa
Exco Perhubungan & Penerangan MARSIS 11/12
{coretan lama, 11 Jun 2009 }

1 comments:

matassian said...

Info yg menarik..kena pda golongan2 yg m'rasakan diri sbagai "pembela" zaman..
renung2 fikir2kanlah..!
~perlu menjadi insan2 yg banyak memberi~

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes