20 April 2009

Jaminan kesihatan rakyat Borneo

Akhbar MyMetro pada, 17 April 2009 menyiarkan mengenai kepentingan kesihatan yang mula dipandang serius bukan sahaja oleh golongan rakyat, malahan pimpinan Negara kita sekarang cuba memperkasakan taraf kesihatan di Malaysia kerana dilihat seluruh dunia berhadapan dengan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan yang rata-ratanya harus diberi tumpuan mendalam kerana membabitkan usaha menyelamatkan nyawa orang ramai. Ini merupakan petanda baik kepada tahap keprihatinan ahli kabinet yang baru dibentuk ini terhadap masalah masyarakat.

Di mana Menteri Kesihatan Malaysia, Dato' Sri Liow Tiong Lai berkata, bersempena persidangan dan pameran teknologi maklumat (IT) penjagaan kesihatan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 - 27 Februari 2009 yang lalu dijalankan bersesuaian dengan Rancangan Malaysia ke 9 (2006 - 2010) untuk mengukuhkan sistem pengurusan maklumat kesihatan sebagai inisiatif meningkatkan sistem penghantaran kesihatan serta mengenalpasti status kesihatan rakyat Malaysia.

Jika kita lihat, perancangan kementerian kesihatan ini cukup sempurna bagi memenuhi hak masyarakat yang layak dirasai semua rakyat yang bergelar warganegara Malaysia. Pembentukan kabinet baru di negeri bawah bayu yang telah diumumkan oleh perdana menteri Malaysia yang baru, Datuk seri Najib juga meperlihatkan kita suatu pembaharuan di peringkat kementerian kesihatan di mana Ketua Puteri Umno yang baru dipilih, Datuk Rosnah Rashid Shirlin sebagai Timbalan Menteri Kesihatan yang baru.

Dengan perlantikan baru ini, kita harapkan suatu perubahan bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat di bumi bawah bayu ini, sama ada dari aspek perkhidmatan, bekalan ubat-ubatan, penyediaan doktor-doktor pakar dan sebagainya. Jika kita lihat, keadaan hospital tertua di Sabah iaitu Hospital Queen Elizabeth (QEH) merupakan sumber dan rujukan kepada semua hospital di negeri ini.

Namun, sekiranya hospital rujukan ini tidak memiliki kelengkapan dari segala aspek dalam memastikan taraf kesihatan rakyat terjaga, bagaimana mungkin boleh mencapai target yang tertakluk dalam RM KE-9 dari aspek kesihatan. Seperti mana yang kita tahu mengenai perkembangan perkhidmatan kesihatan di Sabah setakat ini, ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang diberikan.

Antara masalah yang diutarakan termasuklah sistem pengurusan yang lambat menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, daripada sumber Bernama, Pengarah Hospital Duchess of Kent Sandakan, Dr. Zorina Khalid berkata, kini terdapat 19 mesin haemodialisis di hospital itu yang digunakan oleh 77 pesakit dan jumlah mesin yang ada itu masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang begitu ramai.
Sebagai rakyat Malaysia, rakyat Sabah juga berhak menikmati kemajuan dalam bidang kesihatan seperti yang diwar-warkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai.

Tidak ketinggalan negeri berjiran, Sarawak negeri kenyalang. Sarawak merupakan antara negeri yang tidak diberi penekanan yang serius terhadap aspek kesihatan. Sedangkan jika kita lihat, dengan keluasan yang besar, dan jumlah penduduk yang ramai, semestinya negeri ini amat memerlukan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisyen untuk memudahkan dan memastikan rakyat hidup dengan lebih selesa.

Dalam amanat tahun baru Y.B Menteri Kesihatan di perhimpunan pagi pada 8 Januari 2009 ada menjelaskan bahawa dalam usaha untuk memastikan pesakit yang kurang berkemampuan juga mendapat akses kepada rawatan perubatan, seramai 2,078 orang pesakit telah diberi bantuan di bawah Tabung Bantuan Perubatan sehingga November tahun lalu dengan jumlah bantuan sebanyak RM21.9 juta. Dijangkakan seramai 3,000 orang pesakit bakal menerima bantuan pada tahun ini. Kementerian melalui tabung ini juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM315 ribu bagi menghantar 22 orang pesakit kanak-kanak untuk menjalani pembedahan jantung di Hospital Narayana, Bangalore, India dan semua telah pulang dengan selamatnya.

Ini adalah antara janji yang ditaburkan kepada rakyat Sarawak yang sememangnya memerlukan dan mengalami masalah kurang kemampuan dalam kehidupan seharian, apatah lagi dalam memastikan kesihatan mereka terjamin. Dan harapan rakyat Malaysia di bumi kenyalang ini juga tidak mahu ketinggalan dalam menikmati kemajuan bukan sahaja dari segi kehidupan seharian, malah dari segi kesihatan juga tidak diabaikan.

Janji-janis manis ini diharapkan bukan sekadar janji musim pilihanraya atau janji manis saja. yang penting orang mahu melihat pembangunan yang semakin baik demi kebajikan rakyat terutama di sabah sarawak yang sememangnya mendambakan semua itu.

~tinta srikandi sabah

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes