03 April 2008

Majlis Fatwa sokong boikot produk Belanda

SEPANG 2 April - Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan membantah penerbitan filem Fitna serta menyokong tindakan memboikot barang buatan Belanda.

Anggota majlis itu yang juga Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, tindakan itu sebagai satu bentuk protes terhadap negara yang mengeluarkan filem menghina Islam tersebut.

Katanya, tindakan memboikot boleh dilakukan ke atas perdagangan yang menjadi dasar hubungan antara kedua-dua negara.

''Filem Fitna ini betul-betul fitnah kepada kita (orang Islam).

''Hubungan kerajaan antara kerajaan lain adalah menerusi perniagaan, jadi kita perlu boikot barang mereka sebagai satu tunjuk perasaan kepada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ), Datuk Noh Gadot; Pengerusi Lajnah Penyemakan dan Percetakan Teks al-Quran, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor; Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Che Din Yusoh dan Ketua Penolong Setiausaha Unit Kawalan Teks al-Quran, Wan Marsita Wan Sudin.

Mengulas lanjut, Harussani yang juga Pengerusi LPPPQ berkata, umat Islam dilarang mencaci agama lain namun sebagai orang Islam, mereka diwajibkan menyatakan kebenaran dan mempertahankannya.

Menurutnya, umat Islam perlu membantah segala fakta yang tidak sahih mengenai kitab suci al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam dan memusuhi mereka yang cuba menyalahtafsirkan kandungan al-Quran.

Jelasnya, penerbitan filem yang berunsur sensitiviti agama boleh mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan menjejaskan hubungan antara negara Islam dan bukan Islam.

''Islam menyuruh kita mempertahankan kesucian agama dan kita perlu membantah niat tidak baik musuh yang mahu menjatuhkan umat Islam," katanya.

Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu mengkritik dan menghina agama Islam dengan menunjukkan surah al-Quran dan berlatarbelakangkan imej pengganas.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes