Oleh: Siti Nurul Munawirah
KOTA BAHARU, (Bernama) -- Seorang wanita rakyat Thailand yang dituduh menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas suaminya dengan menyimbah asid setahun lalu, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kahwin lagi
Poligami
Mimpi indah bagi sang lelaki, mimpi ngeri bagi si isteri.
Ia adalah hukum dariNya, yang diturunkan penuh hikmah demi kemaslahatan manusia.
Dua tiga hari lepas, saya ada membaca satu berita mengenai seorang isteri menyimbah cuka ke suaminya gara-gara mahu menikahi satu lagi.Tidak silap saya, dua tiga tahun lepas ada juga berita mengenai seorang isteri telah memotong kemaluan suaminya kerana tidak rela dimadukan.
Satu sahaja kesimpulan yang dapat saya simpulkan.Si isteri telah menaganggap pada hari pertama dia diijabkabulkan, si suami adalah haknya yang mutlak, buat selama-lamanya.
Benar, apabila sudah mengangkat akad, si suami berhak ke atas isteri dan sebaliknya. Namun, kerana kadang-kadang nafsu lebih terpandu daripada akal, kita lupa bahawa kita semua adalah milikNya.
Saya sebenarnya agak risau dengan peristiwa-peristiwa sebegini yang mencengkam hidup kaum hawa.Saya tidak menafikan bahawa, sememangnya kenyataan dimadukan itu adalah pahit, namun kita harus ingat, perkahwinan bukanlah matlamat utama sebuah kehidupan.
Kerisauan saya semakin bertambah,apabila membaca hujah-hujah Sister In Islam yang memburukkan lagi hikmah sebenar poligami diturunkan sehingga mahu ia dipertikaikan.
Syaitan itu amat licik dan ia amat gemar memanipulasi emosi, perasaan manusia untuk menjauhkan kita dari Islam.
Hiduplah secara beragama
Apabila kita hidup memilih untuk cara beragama, maka kita rela mempertaruhkan apa jua perjalanan hidup demi mencari keredhaanNya.
Kita adalah hamba.Pasangan kita juga adalah hamba. Masing-masing sentiasa berusaha berbuat yang terbaik demi pelaburan di akhirat.Justeru, apabila timbul isu poligami ini, mengapa kadang-kadang wanita bertindak seolah tidak bertuhan?
Kepada wanita
Isteri pertama ,janganlah perasaan tamak menguasai diri dan amarah memimpin hati kita , kelak, kita mudah menjejaki arahan syaitan supaya bertindak di luar kewarasan.Iblis amat gembira seandainya kita hilang jatidiri sebagai Islam apabila berfikir.
Yang mahu menumpang kasih, janganlah hasrat perkahwinan itu hanyalah kerana keseronokan semata- mata dan tidak meletakkan agama sebagai panduannya. Ingatlah, kalian telah menumpahkan air mata seorang perempuan lain dengan menawarkan diri untuk dimadu.Hormatilah kecekalan dan kemurahan isteri si lelaki atas kesanggupan mereka menerimamu.Sayangilah mereka seikhlasnya demi Islam sepertimana kalian menyintai suami mereka
Ingatlah wahai wanita, suami hanya pinjaman .Mereka tidak mampu memberi jaminan bahawa kita akan ke syurga di akhirat kelak.Hanya Allah tempat bergantung sebenar-benarnya.
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”(an-nisa’:1)
Kepada Lelaki
Duhai, suami, perhatikan dirimu terlebih dahulu adakah kamu layak untuk memadukan para amanah Allah di muka bumi ini sebelum menambahkan bunga di jambanganmu?!Amatilah sepenuhnya janji-janji Allah pada orang –orang yang zalim dan tidak amanah.Renungilah azab kubur dan seksaan neraka yang sangat dasyat kepada mereka yang tidak adil kepada isteri-isteri mereka.Insafilah semua ini sebelum terlambat.
“Apabila Neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh. Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu). (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya). Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa Neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.” (Al-Furqan:12-15 )
Hayatilah erti sebenar poligami cara Rasulullah dan para sahabat. Asbab dan musababnya.Jangan kerana ketamakan nafsu, kalian tanpa sedar memberi fitnah pada keindahan Islam!
Jika tidak mampu berlaku adil, cukuplah SATU.Jangan tamak dan terlalu dayus,lemah berlutut di kaki nafsu.
Hidup secara berTuhan
Apabila kita melihat segalanya adalah dari Allah, maka kita tidak akan berani bertindak sesuka hati kita.Bukankah ALLah itu maha adil dan Dia sentiasa memerhati setiap perbuatannya?
Ingatlah, perkahwinan hanyalah bonus semata bagi sang pejuang.Perjuangan menuju mardhatillah itu lebih utama berbanding segala-galanya.
Hidup ini adalah sementara, dan kita adalah musafir yang dunia bukan destinasinya.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”(At-Taubah:24)
Sumber: http://mawarmunawwarah.blogspot.com
* Semua gambar di atas adalah hiasan sahaja.
0 comments:
Post a Comment