12 February 2008

Salah Tafsiran terhadap Islam

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda serta kepada sekelian orang mukmin. Amma ba'du.

Ketika ini dunia sedang dilanda pelbagai krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya umat Islam adalah umat teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah S.W.T.

Ertinya: Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang membeli keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.( al-Baqarah:143)

Di antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Krisis pemikiran berkaitan dengan kewarasan umat, sedangkan krisis moral berkaitan dengan mindanya. Hidup umat Islam pasti dilanda kemelut jika pemikirannya tidak rasional dan mindanya jumud. Antara krisis pemikiran yang melanda umat Islam ialah tanggapan buruk terhadap Islam. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kebekuan fikiran, tafsiran melulu di bidang fiqh, keraguan dalam 'aqidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Krisis pemikiran adalah pengaruh dari luar atau disebut ghazwu al-fikri (pengaruh pemikiran) yang dirancang. Gerakan ini bertujuan untuk menghancurkan umat Islam dengan menyusupkan

pemikiran yang berbeza dari ajaran Islam yang sebenar. Pengaruh pemikiran telah bermula sejak dari pendidikan pra-sekolah hingga ke pengajian tinggi, melalui pelbagai media cetak dan elektronik. Ia juga meresap menerusi kebudayaan, hiburan, maklumat, Iklan dan sebagainya. Melaluinya juga umat Islam disogokkan dengan maklumat dan pemikiran yang tidak sesuai dengan Islam.

Maka pendidikan agama sering diabaikan. Akibatnya umat Islam tidak lagi memahami ajaran Islam yang sebenar. Lantas, ada umat Islam yang sanggup mencampurkan ajaran-ajaran karut ke dalam Islam. Ada yang menyelewengkan Islam, ada yang memahami Islam secara songsang, ada yang mengabaikan keseimbangan amalan dan ada juga yang cuma mengambil sebahagian sahaja dari keseluruhan ajaran Islam.

Apabila majoriti umat Islam sendiri sudah tidak memahami Islam, maka tidak hairanlah jika orang bukan Islam akan berani menghina Islam. Meskipun ada juga di kalangan bukan Islam yang cuba mengkaji Islam, namun mereka masih mempunyai tanggapan buruk terhadap Islam disebabkan tiada kefahaman, berbeza ideologi, sikap permusuhan dan sikap umat Islam sendiri yang mengabaikan ajaran Islam dan hidup seperti orang bukan Islam.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | coupon codes